Setiap kisah cinta itu bukan semestinya akan berakhir dengan pengakhiran yang bahagia.
Kerana setiap kisah cinta yang dilalui oleh seseorang itu punya banyak cerita yang tersembunyi.
Seharusnya cinta itu membangkitkan semangat, bukan melemahkan jiwa.
Cinta dalam ikhlas kerana Allah itu, tidak meletakkan ekspektasi harus dia. Sebaliknya jika tidak ditakdirkan untuk bersama, mampu melepaskan juga mendoakan kebahagiaan buat dirinya, dengan harapan, bahagia juga akan menjadi milik kita.
Barangkali apabila kita tidak mampu untuk meluahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati, menyebabkan kita sering mengalirkan air mata.
Air mata bukanlah petanda kita lemah, sebaliknya pada setiap titisan air mata itu, Allah selalu memujuk hati dan perasaan kita, bahawa kita tidak patut untuk meletakkan setinggi harapan pada makhlukNya jua. Allah memujuk kita, dengan memberi kelegaan setiap kali selepas kita mampu untuk mengeluarkan tangisan.
Ada manusia yang mudah untuk melupakan, ada manusia yang sukar untuk membuang perasaan.
Ada manusia yang mudah melupakan itu, mungkin akan menghadapi situasi di mana dia akan sukar membuang perasaan cinta, kasih dan sayang.
Ada manusia, dia cuba untuk membuang semua perasaan dengan cara membenci.
Ada manusia, yang memilih untuk melupakan semua perasaan sakit ditinggalkan dengan cara terus menyayangi. Nampak seperti bodoh? Oh tidak, bukan. Itu adalah salah satu terapi untuk kita tidak terus menyakiti hati dan perasaan kita sendiri.
Carilah di mana kekuatan kita. Sama ada melupakan dengan cara membenci, atau melupakan setiap kesakitan perasaan dengan cara terus mendoakan yang terbaik buat dirinya, terus menyayangi dirinya, terus berbuat baik kepada dirinya. Kenali hati, diri dan perasaan kita. Teruskan berdoa dan meminta kepada Allah supaya dipinjamkan sedikit kekuatan untuk meneruskan kehidupan, seterusnya berdamai dengan takdir yang bukan tercipta seperti keinginan hati kita.
Entry malam ni mungkin agak emosi, barangkali teringat kisah lama. Kurang pasti pada saat dan ketika ini, andai diingatkan semula, sama ada ia menjadi kenangan pahit ataupun manis.
To be honest, after months, i'm still love him. Masih belum berjaya melupakan. Masih mampu mengalirkan air mata setiap kali terkenang peristiwa yang lama. Ada orang mungkin merasakan 6 bulan bukan jangka masa yang lama untuk kita melupakan seseorang, dan ada orang, mungkin merasakan, mana mungkin sudah bulan ke enam, masih belum melupakan, masih boleh bersedih.
Bersedih itu normal. Berada dalam kesedihan yang berterusan itu yang tak bagus.
Menangis juga normal. Tapi meratapi takdir yang sudah tertulis itu juga tidak bagus.
Mengukir senyuman di wajah setiap kali hati bersedih itu memang payah. Tapi dengan bantuan Allah, kita akan mampu hadiahkan senyuman buat manusia lain di saat hati dan perasaan kita diuji teruk.
Perasaan adalah anugerah dari Tuhan untuk kita sebagai makhlukNya.
Jagalah amanah itu dengan sebaiknya, supaya kita menyayangi dan melakukan sesuatu adalah kerana Allah, kerana ingin mendapat keredhaan dariNya.
Mudah-mudahan satu hari nanti kita juga akan dikurniakan bahagia seperti orang lain juga.
Andai bukan di dunia, barangkali Allah sudah sediakan yang terbaik buat kita di akhirat kelak.
Jangan pernah putus asa dan jangan pernah berhenti berdoa.
P/s : Untuk si dia yang mungkin tidak selesa kerana perasaan saya yang masih belum berubah, beri saya masa untuk melupakan semuanya. Ia tak semudah yang pernah saya tuturkan satu masa dulu. Seperti mana saya pernah beritahu dahulu, 'ajarkan saya bagaimana untuk mencintai kerana Allah, supaya apabila ditinggalkan nanti, saya masih mampu dan ikhlas untuk mendoakan yang terbaik.'
Dan sekarang saya tengah mengajar hati saya 'untuk melepaskan semua kerana Allah, kerana saya percaya Allah sudah sediakan yang terbaik untuk kita berdua di masa depan.'
Bila hati saya dah tak bergetar setiap kali kita berdepan, pada saat itu, saya percaya yang saya sudah melupakan perasaan saya. Tak mudah untuk saya kali ini, kerana di waktu kita berkawan pun saya boleh jatuh cinta hari-hari. Kerana di saat kita mengenali, acap kali saya menyayangi dan melupakan. Menyayangi kemudian move on. Selepas itu, terjatuh cinta sekali lagi, kemudian berusaha keras untuk melupakan. Alhamdulillah, saya hampir berjaya. Tapi takdir Allah mengatasi segalanya, kemudian Dia takdirkan semula untuk saya jatuh cinta untuk kali yang ke berapa entah! Lalu saya belajar untuk takdir yang tercipta itu, saya tak boleh paksa diri untuk melupakan, sebaliknya, hargai sahaja apa yang Allah berikan untuk saya. Kalau Dia sedang rencanakan untuk saya menyayangi, saya tak mahu paksa diri untuk terus melupakan, sebaliknya, saya serahkan semua urusan kepada Dia. Saya percaya apa yang Dia beri untuk saya, ada hikmah dan ibrah yang Dia mahu saya belajar di sebalik takdir itu.