Showing posts with label #Cerpen. Show all posts
Showing posts with label #Cerpen. Show all posts

Tuesday, September 13, 2016

Jangan Baca ^-^

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t.


Heee macam nak buat ucapan je intro tu.. Haih haih lama dah sangat tak mengarut dalam ni.. rindu.. ^-^

Rasa rindu nak bercerita dalam blog, tapi selalu je takde mood la, takde idea la, malas kuasa dua puluh empat juta la... kihkih...

Pastu bila dah rindu, kang dekat dalam IG, dok mengarut tulis caption panjang-panjang..
Contohnya gambar kuih seketui, sat lagi kang, karang caption cerita macam nak tulis satu entry, satu bab dalam novel, hiperbola sangat..

Terus kang jadi camni ' ehh kau letak gambaq kuih, yang kau mengarut throwback cerita disebabkan kuih tu kau terjatuh cinta la, kau terjatuh longkang la, kau tergolek depan kucing la..' haha eh tak ke pelik ke perangai macam tu.. Adui adui...

Selalunya, kalau dalam fb ke ig ke buat gitu, orang yang membaca akan rasa 'ehhh annoying nya dia ni!', atau pun 'ehhh overnya kauu!'

So, dia jadi macam tak best.. Kalau dekat blog, orang takda komen apa-apa.. sebab bebas je kan, kalau tak suka, orang takdelah datang dekat blog kau, ataupun kawan-kawan blogger yang lain tu buat satu entry khas tuju tak suka kau punya entri.. takde semua tu dalam blog.. (khennn? tu yang kita rasa la.. kot memang ada, tapi kita tak tahu kewujudan tu, no komen la.. hehe.. )

Sejujurnya, kalau dalam blog ni, best je kau nak mengarut entah apa-apa.. Orang nak baca, ye, dia baca.. Orang taknak baca, ye, takpe jugak... bebas la..
Dia macam ni tau awak, bila tulis entry dalam blog, tak kisah la orang baca ke, tidak ke, awak tak kisah, asalkan awak dapat bercerita, luahkan apa je perkataan, penanda wacana, sebaris ayat, sepotong lagu atau apa jenis tanda bacaan awak nak buat.. asalkan namanya, meluahkan apa tu yang terbuku terkamus dalam hati.. (ehhh aku syak, dalam entry ni, ayat aku kebanyakannya sengal, mahap la kalau ada di antara kalian yang membaca coretan ini.. ehhh..)

Sebenarnya, walau dah banyak ayat, tapi still tak tahu nak bubuh apa sebagai title post ni.. lost weh lost.. takkan pulak nak letak tajuk 'TRAIN TO BUSAN' pulak kan... hahaha takde kena mengena langsung.. adui...

Dan okelah, nanti next entry, kita pilih cerita yang best-best je, entry ni saja nak warm up selepas lebih 3 bulan tak buat entry baru.. heee lagi pun kita bukan blogger terkenal menal ke amende.. kalau ada pun orang singgah blog ni, adalah pasai nak baca entry 'Diet Atkins' la tu.. Haha saya ni selalu curang, kejap kang bercinta dengan Diet Atkins tu, kejap lagi karang kitorang putus cinta di tengah jalan, di sewaktu berat saya dah tak nak turun, maka saya akan meninggalkan dia terkontang kanting di tepi jalan.. adudu..
Kang elok lepas tiga bulan ke atau sesuka hati saya, saya balik semula dekat dia.. hihi.. mengarut je.. Tu pasai, dari dulu sampai la, diet main-main, kurus pun tak dapat... gemok je lagi hade.. ^-^~~


Oke lah, setelah kita dipertimbangkan di dalam mesyuarat kabinet di antara jari jemari, segala jenis sendi bersangkut paut dengan sekeping hati perasaan, maka kita memutuskan untuk meletakkan tajuk entry ialah 'Jangan Baca'..  @-@

Tapi kalau ada yang terbaca, terima kasih sudi baca.. Nanti kita fikir entry lain yang lebih mencabar lagi k..

K, tata.. take care..

Love,
Yani Hamshah


Monday, June 23, 2014

Jodoh Berdua - Part 3 (Akhir)




****

                “Betul ke ni mak long?” Zarif menyoal dengan rasa tidak percaya.

Apa mimpi mak long nya itu? Kenapa tiba-tiba beri kebenaran kepada dia untuk kembali melamar Fiska? Kenapa ya? Apa yang tidak kena? ‘Heh la Zarif, 3 bulan lepas, mak long tak restu pun kau mempersoalkan, yang ni, dah diberi pun sibuk mempersoalkan. Apa yang kau nak Zarif oi?!’

                “Ya. Betullah. Dah seminggu mak long fikir. Kadang-kadang mak long rasa, mak long ni hanya fikirkan tentang hati dan perasaan mak long saja. Pasal orang lain mak long tak fikir pun. Mesti Zarif dengan Fiska dah cop mak long ni mak saudara yang kejam kan? Macam dalam cerita Ibu Mertuaku. Haha.” Panjang Hasnah menerangkan sambil berlelucon.

Zarif tergelak. Pandai saja mak longnya itu serkap jarang.

Memanglah diakui perkara itu bukan mudah untuk dia lalui. Hendak pula sekarang ini dia kerap memikirkan gadis bernama Fiska Nasuha itu. Berapa kerap? Entahlah, tak tahu nak jawab macam mana. Aura apa yang ada pada gadis itu?

“Parah dah kamu ni Zarif. Asyik termenung je sekarang ni.” Usik Mak Long.

Zarif tersengih. “Tak adalah mak long. Rif teringat kerja kat pejabat je tadi. Busy betul sekarang ni.”

“Yelah tu. Ingat mak long nak percaya.” Hasnah senang melihat riak wajah Zarif yang ceria itu.

Biarlah dia ketepikan hati dan nafsu amarahnya demi kebahagiaan anak-anak buah tersayang. Semoga kebahagiaan akan jadi milik mereka suatu hari nanti. Sempat Hasnah berdoa di dalam hati.

“Jadi bila Zarif nak ajak ibu ayah pergi masuk meminang Fiska?” Tanya mak long tanpa berselindung.

Namun belum sempat Zarif menjawab, terdengar ada suara memberi salam. Zarif menjengukkan kepala ke luar rumah. Manakala mak long pula sudah berada di pintu.

“Wa’alaikumussalam Fiska. Amboi, kuatnya jodoh. Asyik bertembung je.” Mak long menjawab salam. Kemudian memandang Zarif sejenak. Zarif berdehem perlahan. “ Ehem, kitorang tak berjanji pun mak long. Kebetulan je ni.” Zarif sudah mula menggelabah.

“Eh mak long tak cakap apa-apa pun.”

Usai grill ditarik. Fiska menghulur salam dan mencium kedua-dua pipi mak long lembut.

“Rindunya Ika pada mak long.” Ujar Fiska sambil memeluk mak long kuat.

“Iyalah sayang. Mak long pun rindu awak.” Hasnah membalas pelukan Fiska. Manja sungguh Fiska dengan dirinya.

Zarif hanya memerhatikan gelagat dua wanita di hadapannya itu. Namun matanya lebih tertumpu pada Fiska. Lama sudah dia tak dengar ‘berita’ mengenai Fiska. Gadis itu seakan terus menyepi dari pandangan mata. Marahkah gadis itu kerana dia tidak membalas emel yang dikirimkan oleh Fiska? Zarif garu kepala yang tak gatal.

Fiska melepaskan pelukan mak long. Memandang Zarif dan menundukkan kepala tanda hormat. ‘Haih kenapalah mamat ni ada kat rumah mak long pulak? Janganlah dia cuba-cuba nak borak dengan aku. Malu tak habis lagi ni sebab dia tak balas emel aku.’ Sempat Fiska membebel di dalam hati.

“Ika, nak datang tak beritahu pada mak long pun.” Soal mak long mencipta perbualan selepas mereka duduk di sofa. Zarif sudah ke dapur untuk membuat minuman untuk mereka bertiga.

“Ala mak long ni, Ika nak datang pun kena buat temu janji ke? Haha. Comel lah mak long ni.” Balas Fiska sambil mencubit pipi Hasnah.

“Ika rindu sebab itu Ika datang. Sementara Ika ada lagi ni.” Wajah mak long di tatap penuh kasih.

“Oh patutlah malam tadi mak long mimpi Ika datang peluk mak long nangis-nangis. Rindu kat mak long rupanya. Budak manja!” Kali ini mak long pula menarik pipi Fiska. Terjerit Fiska sekejap.

Tak lama kemudian, Zarif datang menantang dulang membawa minuman dan biskut kering.

“Rajinnya anak buah mak long ni. Ada ciri suami yang baik ni.” Usik Mak long sambil tersengih-sengih.
Zarif menjeling mak long dan memberi isyarat supaya jangan berlebih-lebihan.

“Betul tak Fiska?” Mak long tidak mengendahkan jelingan Zarif. Kini giliran Fiska pula diusik.

Fiska tersenyum manis dan mengangguk.

“Jemput minum Ika, mak long.” Pelawa Zarif sopan. Langsung tidak diendah pujian Mak Long sebentar tadi. Zarif merenung Fiska sekilas.

Gadis itu biasa-biasa saja. Seperti tiada masalah yang melanda. Walhal dia sendiri dah rasa nak pecah kepala sewaktu menerima keputusan Mak Long yang tidak merestui hajatnya. Rasa sakit bila Fiska juga membuat keputusan untuk tidak menerima lamarannya. Dan dia sebagai seorang lelaki, masih diletakkan ego di tempat yang tinggi. Jika Fiska tak sudi, dia pun buat-buat tak sudi juga. Habis cerita! Oh tak habis pun, sebab sekarang ni mak long dah setuju. Macam mana nak beritahu Fiska yang dia nak melamar gadis itu semula?

Kalau macam tu, nampak macam terdesak sangat kot? Tapi kalau tak, dia sendiri yang gigit jari. Apa pun, Zarif dah nekad, gadis itu mesti dilamar sekali lagi. Tentang hati dan perasaannya, biarlah Fiska tahu selepas mereka bernikah satu hari nanti. Fiska tak perlu tahu rahsia hatinya saat ini.


*******

“Riff, orang tanya dia mengelamun pulak.” Suara mak long yang kedengaran membuatkan Zarif tersentak dari lamunan. Zarif sengih senget. Dia pandang Fiska. Gadis itu menjatuhkan pandangan.

Haih pemalu benar cik Fiska ni. Cubalah senyum sikit kat bakal suami ni. Menceceh Zarif di dalam hati. Tak apalah. Belum halal.

“Mak Long tanya apa tadi?” soal Zarif pendek.

“ Oh mak long tanya, bila awak nak hantar rombongan meminang Fiska ni?” Jawab mak long ‘straight’.

“Uhukkk!!” Zarif yang ketika itu hendak minum air, lantas tersedak. Mak oiii, mak long ni dah kenapa advance sangat. Aku bincang dengan ibu ayah pun belum lagi. Patutlah Fiska tak nak pandang dia langsung. Haihh. Keluh Zarif dalam hati.

“Ehemm.” Zarif berdehem melegakan tekaknya.

“Kalau Ika setuju, nanti Arif beritahu pada ibu dengan ayah hantar rombongan bulan depan.” Beritahu Zarif yakin. Dia nak Fiska tahu dia bukan main-main dalam hasratnya itu.

“Kalau pasal Fiska ni, mak long yakin dia mesti setuju. Kalau tidak takkanlah muka dia macam panda tertelan tapai basi setiap kali nampak kamu.” Yakin benar mak long dengan telahannya.

“Hahaha.” Zarif tidak mampu tahan gelak. Ada pulak mak long ni buat perumpamaan panda tertelan tapai basi. Ada ke tapai basi?

Wajah Fiska pula sudah mula memerah kerana gurauan mak long itu. Dalam hati dia bersyukur. Kerana Allah permudahkan segala urusan. Dia tak sangka dia akan dapat anugerah terindah ini. Setiap perkara yang didoakan lalu diperkenankan Fiska pasti akan menyebut itu anugerah terindah dari Yang Maha Esa. Syukur Alhamdulillah.



******


“Aku terima nikah, Fiska Nasuha binti Mansor dengan mas kahwinnya RM300 tunai.” Lafaz akad oleh Zarif sebentar tadi benar-benar meruntun jiwa Fiska. Rasa syukur, sebak, gembira, takut semuanya bercampur baur. Semoga jodoh mereka berdua sampai ke syurga. Semoga dia dan suaminya sama-sama berusaha untuk menjadikan keluarga baru ini sakinah, mawwadah, wa rahmah. Dan semoga Zarif mengerti impian dan cita-citanya. Semoga dia dan Zarif mempunyai satu fikiran ke jalan yang diredhai Allah. Semoga kita satu jalan. Doa Fiska dalam hati. Tenang hatinya saat ini. Semoga mereka berdua mampu menggalas tanggungjawab dan amanah Allah ini.



*****


“Assalamualaikum.” Sapa Zarif perlahan apabila melihat Fiska ralit di depan Laptopnya.

Fiska menoleh dan tersenyum malu. “Wa’alaikumussalam.” Fiska menghulur tangan dan Zarif menyambutnya dengan rasa bahagia.

Zarif memberi isyarat supaya Fiska mengesot sedikit ke kiri kerusi tanda dia mahu duduk di sebelah kanan Fiska. Fiska segan, tak pernah pulak dia sedekat ini dengan mana-mana lelaki. Namun permintaan itu adalah dari suaminya. Maka dihilangkan segala rasa segan dalam hati. Lama-lama biasalah tu Fiska. Pujuk hatinya.

“Saya dah kat sebelah awak ni pun awak nak berangan lagi?” Soal Zarif memecah sunyi.

Fiska tersengih. “Taklah. Mana ada berangan.” Fiska mati kutu. 
Haih nak borak apa dengan mamat ni weh? Fiska garu kepala yang tak gatal.

“Fikir apa? Awak takut dengan saya ke? Ataupun awak tengah fikir nak borak apa dengan saya?” Tebak Zarif.

Fiska memandang ke sisi. Teruja sebab Zarif pandai baca isi hatinya. Wah, baru sehari jadi suami, Zarif dah tunjukkan dia seorang yang memahami. Fiska teruja.

Zarif mengangkat kedua-dua keningnya. “Saya tahu awak puji saya dalam hati kan?”

“Eiii, perasan! Saya tak tahu pulak suami saya ni seorang yang perasan. Haha.” Jawab Fiska mengusik.

“Alah Ika, awak tak payah cakap pun saya dah tahu.” Jawab Zarif tak nak kalah.

Fiska tersengih saja. Membenarkan telahan Zarif. Matanya ditumpukan ke arah skrin laptopnya.

Tangan Zarif pula sudah berjalan di ‘mouse’ yang berada di atas meja. Butang “Publish” di skrin ditekan.

“Alahai isteri saya ni, dah buat entry baru tapi tak nak publish. Tak tahu ke awak ni ada peminat setia.” 

Ramah Zarif hari ini. Dah jadi suami lah katakan. Kenalah pandai mencipta komunikasi. Fiska pun jenis banyak mulut juga, Cuma dengan Zarif, dia belum dapat membiasakan diri lagi. Baru-baru lagi.

“Saya tahu siapa peminat setia saya tu. Awak kan? Awak suka usha blog saya kan?”

“Eiii, perasan! Saya tak tahu pulak isteri saya ni seorang yang perasan. Haha.” Zarif memulangkan paku buah keras.

“Eee tak sukalah dia ni, kenakan orang balik.” Fiska merendahkan tone suaranya. Konon-konon merajuk. Haha, merajuk sangat. Bukan Fiska lah nak merajuk ni. Saja dia nak usik Zarif.

“Eh alah, isteri saya merajuk. Kesianlah perut saya besok pagi. Mesti lapar.” Zarif bersuara sambil memegang perutnya.

Fiska memandang Zarif pelik. Dah kenapa pulak kes merajuk dengan dia sakit perut ni?

“Awak jangan kedip-kedip mata macam tu depan orang lain tau Puan Fiska. Nanti saya cemburu.” Kata Zarif lagi. Makin pening Fiska dengan tingkah dan tutur Zarif.

“Hurm apa kena mengena saya merajuk dengan perut awak lapar dengan kedip-kedip mata ni?” Soal Fiska lurus.

“Hurm sebab kalau awak merajuk, dan kalau saya tak pandai pujuk, awak mesti tak nak buat sarapan untuk saya esok. Nanti laparlah saya. Lagi, jangan kedip mata, buat muka comel macam tu depan lelaki lain. Nanti hubby awak ni cemburu. Dah faham, sayang?” Jawab Zarif panjang lebar.

“Haha. Awak ni buat lawaklah. Awak je lelaki yang sudi pandang saya yang comot ni.” Jawapan Zarif menggeletek hatinya. Zarif tersenyum.

“Zarif. Terima kasih sudi ambil saya jadi isteri awak.” Lembut  tutur kata Fiska.

Zarif senyum dan menoleh pada Fiska. 

“Fiska, terima kasih juga sebab terima saya. Kalau ada kekurangan pada diri saya, mohon awak terima segalanya. Lengkapkan kekurangan yang saya dengan kelebihan yang ada pada awak. Awak dan saya akan berusaha bersama-sama untuk menjadi seorang suami isteri yang soleh solehah. Kita belajar juga jadi abah dan ummi yang terbaik buat zuriat kita satu hari nanti.” Balas Zarif tulus.

Fiska terharu. Disandarkan kepala di bahu Zarif. Tangan Zarif digenggam erat.

“Saya tahu awak ada baca entry tu. Terima kasih sebab sudi memahami isi hati saya. Kita usaha sama-sama ya. Kalau saya ada banyak buat kesilapan, awak tegurlah saya. Saya nak jadi isteri awak, bukan hanya kat dunia ni, tapi di akhirat juga. Sampai kita jumpa semula dalam syurgaNya.” Luah Fiska sambil air mata mengalir di pipi.

Zarif mengelus lembut bahu isterinya. Menenangkan jiwa antara satu sama lain.

“Isteri saya ni, sedih campur gembira. Malam ni, kalau awak terjaga. Kejut abang sekali. Kita tahajjud sama-sama tau. Luahkan apa yang awak rasa itu pada Allah. Dia yang paling memahami apa yang isteri saya rasakan saat ini.” Lembut suara Zarif menyapa telinga Fiska.

Fiska mengangguk. Sekali lagi air matanya mengalir. Fiska cukup terharu dengan hadiah yang tak ternilai yang Allah kurniakan buat mereka berdua.

“Abang, kalau awak yang terjaga dulu. Kejutkan saya. Kita panjatkan rasa syukur kita, sama-sama.”

Kali ini, Zarif yang tidak dapat menahan sebak. Air mata gembira turut mengalir di pipinya.

“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!” 

Zarif dan Fiska sama-sama bermunajat dalam hati. Ralit mengingati, mensyukuri nikmat yang Allah berikan buat mereka berdua. Terima kasih Allah, untuk segala ujian dan dugaan yang Kau berikan pada kami.

'Jika diri mahu bahagia, jangan pernah takut menerima ujian dari Allah yang mencabar. Jika bahagia bukan di dunia, Allah pasti akan berikan di akhirat kelak. Bila punya rasa cinta, sujudlah pada Dia, kerana Dia yang anugerahkan perasaan itu. Segala-galanya akan berbalik kepada Dia. Walau bahagia sedetik cuma, syukurilah nikmat itu.'


*****

“Kami minta maaf Encik Zarif. Kami dah cuba yang terbaik untuk menyelamatkan Puan Fiska. Kanser otak yang dialaminya itu sudah terlalu serius. Daripada Allah kita datang, kepadaNya juga kita kembali.” Suara doktor Halim menyebabkan Zarif hilang imbangan dan terduduk di lantai.

Berat sungguh dugaan ini. Terngiang-ngiang suara Fiska semenjak wanita itu menjadi isterinya sebulan lepas. 

Walau bahagia sedetik cuma, syukurilah nikmat itu.’

Rupanya sedari awal Fiska sudah mengetahui tentang perkara itu.

Zarif kesal kerana terlewat mengambil Fiska menjadi isterinya.

Zarif kesal kerana mengambil terlalu lama masa sedangkan di awal permintaan ibunya, dia sendiri sudah tertarik pada Fiska. Bukan kerana terpaksa atau menuruti kehendak ibunya.

Zarif kesal kerana tempoh dia rasakan terlalu singkat bersama Fiska.

Allah. Allah. Allah. Berilah kekuatan.

“Zarif, selepas seminggu Fiska bernikah dengan kamu, arwah ada beri surat ni pada ummi. Pada mulanya ummi tak mengerti. Bila ummi tanya kenapa dia tak mahu beri sendiri. Dia kata, dia nak ummi sampaikan bila dia tak mampu nak beri sendiri. Sabarlah nak. Ujian dari Allah ini manis. Semoga kalian akan berjumpa semula di syurga kelak.” Puan Faizah redha dengan kehilangan puteri kesayangannya. Sekurang-kurangnya dia tahu anaknya itu sempat bahagia walau hanya sedetik cuma. 'Semoga kau mampu menghadapinya nak.' Doa Faizah dalam hati. Air matanya mengalir perlahan.


*****


"Assalamualaikum, awak. Bila surat ni dah sampai di tangan awak. Maknanya saya dah tiada lagi di sisi awak. Saya dah tak boleh temankan awak tahajjud sama-sama. Saya dah tak boleh nak temankan awak pergi majlis ilmu. Bagaimana kita mampu menahan perasaan yang wujud sebelum kita bernikah, tanpa berada di sisi, antara satu sama lain, macam itu jugalah saya harapkan awak kuat. Jalani hidup tanpa saya di sisi. Berbekalkan cinta kepada Allah. Awak mampu teruskan hidup tanpa saya. Jangan pernah kesal dengan apa yang berlaku.

Takdir kita, Allah dah tentukan begini. Walau baru seminggu menjadi isteri awak, saya dah cukup bersyukur. Maaf bukan kerana saya tak mahu beritahu tentang sakit saya ni. Tapi saya tak cukup kuat. Dan doktor hanya beri saya tiga bulan dari sekarang. Doktor hanya beri tempoh, tapi andai kata ajal saya sampai lebih awal dari itu, saya tetap kena pergi walau berat hati ini. Ketahuilah awak, sepanjang saya menjadi isteri awak, saya terlalu bahagia dengan nikmat yang Allah beri ini. Walau sebentar cuma.

Terima kasih sudi terima isteri awak, yang kurang serba serbi ini. Terima kasih untuk ilmu-ilmu yang awak share dengan saya. Terima kasih sudi jadi imam saya. Terima kasih kerana sudi jadi husband saya, kawan baik saya, teman saya, penasihat saya. Ana uhhibuka fillah, abang. (Abang, jawablah ‘Ahabbaka llazi ahbabtaniy lah.' Hehe, saya tahu awak selalu cakap macam ni masa saya tidur. Saya selalu jawab dalam hati je. Kesian awak.)

Awak, jangan terlalu sedih dengan pemergiaan saya. Teruskan jalani hidup awak. Awak kata, awak cintakan saya kerana Allah. Dan bila Allah, berikan ujian begini, awak mampu laluinya. Kita sama-sama tahu kan, walau kita dijodohkan berdua, namun akhirnya, kita tetap akan saling meninggalkan antara satu sama lain. Jangan pernah rasa bersalah, kerana saya tak pernah salahkan awak, ketika awak berkata awak terlewat membuat keputusan.

Sayang, sekurang-kurangnya kita ini, masih diberi kesempatan untuk bahagia. Bersyukurlah. Kerana di luar sana, masih ramai lagi yang menyimpan rasa. Tak mampu meluahkan. Dan belum boleh menggapai bahagia. Kita, walaupun sedetik cuma, masih mampu tersenyum bahagia kerana dijodohkan berdua. Akhir sekali, teruskan hidup awak, sambunglah cita-cita dan impian awak. Maaf andai kerana saya, cita-cita dan impian awak itu tertangguh. Redhakan saya pergi. Halalkan segala makan minum saya sepanjang jadi isteri awak. Maafkan segala dosa atau kesilapan ketika saya bergelar isteri awak. Semoga kita berjumpa lagi di sana nanti. Hidup baik-baik abang. Jaga iman, jaga solat. Assalamualaikum."

Love,
Fiska Nasuha Mansor ~


Zarif melipat semula surat yang diberi oleh mak mentuanya semalam. Air matanya mengalir lesu. Surat terakhir dari Fiska sedikit sebanyak memberikannya kekuatan. 

“Ika, abang sayang awak. Semoga kita berjumpa di syurga Allah satu hari nanti. Jodoh kita berdua di dunia sudah Allah tentukan. Semoga jodoh kita panjang sehingga ke akhirat. Semoga Allah berikan abang kekuatan untuk teruskan hidup ini, teruskan cita-cita dan impian bersama kenangan singkat kita.”

Zarif merebahkan kepala di atas bantal. Dia melelapkan mata. Air mata yang mengalir hanya dibiarkan. 
Selagi nyawa masih berbaki, dia akan meneruskan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi. Itu cita-citanya. Juga cita-cita arwah isterinya. Isteri kesayangannya, Fiska Nasuha Mansor.


~ Tamat ~



 Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t

Seperti yang dijanjikan, saya habiskan juga cerpen ini. Ada pulak cerpen sampai 3 bahagian ye Yani? Hehe cerpen suka-suka bolehlah. Sebenarnya dari minggu lepas dah buat. Cuma tak berkesempatan nak publish je. Busy sikit. Oke, nah kisah terakhir Zarif dan Fiska. 

Sebenarnya bila baca novel atau cerpen, saya kurang gemar baca sad ending. But, this is the fact. The real life. Sebagaimana awak sayang pada seseorang itu, kita tetap akan saling ditinggalkan. Syukurilah dengan nikmat bahagia yang Allah beri walau ia singkat. Hargailah orang yang awak sayang sementara dia masih ada. Kita ni, akhirnya mesti akan meninggalkan dunia ini. Jangan pernah lupa akan hakikat itu. 

Mungkin akan ada yang menganggap, mungkin cerita ber 'jiwa-jiwa'. Namun suka untuk saya ingatkan, segala apa yang terlahir di sini, ada kekurangannya. Ada cita-cita dan impian yang terselit di akhir cerita. 
Terima kasih andai ada yang sudi baca cerpen dan entry ini.

Kuatkan jiwa bila terduga.
Tabahkan hati bila di sapa ujian.
Hadapi dengan tenang dan tabah berbekalkan cinta kepada Allah.
Dia pasti sudi hulurkan ketenangan itu buat kita.

Sekian, wassalam.

Norzayani binti Norhamshah.





Thursday, June 12, 2014

Jodoh Berdua - Part 2

*****


“Hai anak umi ni fikir apa, ralit sangat depan laptop tu, tapi umi tengok awak tak tai papa-apa pun?” Tegur Faizah lembut.

Sejak dua minggu lepas, anaknya ini lebih banyak mendiamkan diri. Kecewakah dia? Tapi mengapa keputusan itu yang anaknya lakukan, sedangkan dia dan suaminya sudah mengatakan tidak akan membantah walau Fiska pilih untuk terima pinangan Zarif.

Fiska memberi senyuman lembut buat uminya.

“Tak ada apalah umi. Ika tengah fikir nak buat entry baru dalam blog ni. Tapi Ika tak ada idea. Tak tahu nak tulis apa.” Balas Fiska sopan.

Kemudian Fiska berjalan menuju ke katilnya, duduk di sebelah uminya.

“Umi, Ika tahu kenapa umi masuk bilik Ika. Umi nak tanya pasal Zarif kan?” Fiska menarik nafas dan menghembuskannya perlahan. Walau apapun, dia tak boleh buat Umi susah hati.

“Ika sayang, betul ke keputusan yang Ika buat tu? Umi tengok sejak hari tu, anak umi ni jadi lagi pendiam. Ika, kalau Ika suka pada Zarif. Kita boleh pujuk Mak Long, sayang.” Lembut pujukan Faizah pada anak tunggalnya.

Faizah menarik kepala Fiska lembut lalu dilabuhkan di bahunya. Jemari lembutnya mengusap kepala Fiska.

“Ika ok lah umi. Jangan risaulah umiku sayang.” Fiska ketawa perlahan. Namun Fiska terlupa agaknya, bahawa dia sedang bercakap dengan orang yang melahirkannya. Mana mungkin Faizah tak dapat menyelami isi hati anaknya itu.

“Up to you lah sayang. Cuma satu umi nak nasihat. Walau apa jua masalah Ika, bebanan perasaan Ika. Tolong jangan simpan seorang diri.” Kali ini kedua-dua tangan Faizah sudah mencengkam lembut di kepala Fiska. Mata Faizah merenung sayu wajah anak gadisnya itu. Kenapa Fiska nampak tak bermaya kebelakangan ini?

Fiska tersenyum memandang uminya. “Umi dengan ayah kan dah ajar Ika supaya jangan terlalu lemah. Jangan risau umi. Fiska ada Allah. Semua ini pasti ada hikmahnya kan umi?”

Tabahnya kau wahai anak. Bisik Faizah dalam hati.

“Tapi perasaan Ika pada Zarif, macam mana nak?” Tanya Faizah lagi.

Perasaan anaknya itu sudah lama dia dan suaminya maklum. Sejak dari 2 tahun lepas lagi. Kuat sungguh anaknya itu memendam rasa. Tidak diluahkan pada sesiapa. Kerana bimbang diri dimurkai Allah. Jika ada rindu, jika ada cinta yang singgah di hati, anaknya itu lebih memilih untuk menangis teresak-esak di atas sejadah. Mengadu pada Penciptanya. Melepaskan bebenan perasaan di dada.

“Umi ni, perasaan tu kan kita boleh buang. Ika tengah berusaha mintak pada Allah, supaya bantu Ika, jauhkan hati ini dari Zarif.” Tenang sungguh dia menuturkan penjelasan buat uminya.

Cukuplah Allah bagi dirinya. Dia tak boleh meletakkan cinta yang lain lebih tinggi dari Allah. Allah yang selayaknya untuk dicintai. Walau dia sendiri kecewa dengan keputusan yang dia lakukan itu, tapi ia bukanlah sakit mana jika hendak dibandingkan sakit jika dia jauh dari redha Allah.

“Perasaan Zarif macam mana?” Soal Faizah lagi.

“Zarif tu tua dua tahun dari Ika kan umi. Mesti dia lagi kuat dari Ika. Lagi pun benda ni, baru je kan. 

Entahkan ya entahkan tidak Zarif tu suka pada anak umi ni. Mana Ika tahu hati dia.” Laju Fiska berkata. Alangkah indahnya kalau perasaan itu boleh dibuang dalam tempoh 24jam.

“Kalau dia tak suka pada Ika, takkan dia nak melamar. Cuba Ika fikir.”

Kali ini, Fiska sudah melabuhkan kepala ke peha uminya. Kepalanya sakit. Dia nak rehatkan otak.
Fiska memejamkan mata ketika uminya mengusap lembut kepalanya.
Fiska tersenyum. Rasa bahagia dimanjakan begitu.

“Umi, kita dah bincang kan? Mungkin bukan jodoh Ika dengan dia. Ika harap dia dapat jodoh yang lebih baik. Ika mungkin bukan untuk dia. Dah eh umi? Ika sakit kepala ni. Nak tidur kejap. 15 minit lagi umi kejut Ika boleh?” Tanya Fiska dengan mata yang terpejam.

“Tidurlah sayang.” Pendek jawapan Faizah. Dalam hati, masih ralit memikirkan takdir yang tertulis buat anaknya. Semoga anaknya itu bakal bertemu lelaki yang baik. Aamin.


*****


“Zarif, boleh ibu masuk?” Tanya Suhana di depan pintu bilik anak bujangnya.

“Masuklah bu. Mana boleh ibu kesayangan Arif ni tak boleh masuk bilik anak dia sendiri.” Balas Zarif.

“Awak tengah buat apa tadi?” Soal Suhana sambil duduk katil bujang milik Zarif. Zarif bangun dari meja kerjanya. Menutup laptopnya dan melabuhkan punggung di sebelah Suhana.

“Online je bu. Tengok-tengok facebook, baca-baca blog.” Jawab Zarif ringkas.

“Baca blog siapa? Fiska Nasuha?” Teka Suhana.

Zarif tersengih. Kenapa pandai benar ibunya meneka? ‘Hai Zarif, dah namanya ibu kau,mana boleh kau nak tipu!’

“Saja Arif bukak blog Fiska. Pelik sebab dia dah lama tak tulis entry baru. Selalu tu, ada je benda yang dia nak tulis. Dah dua minggu ni, senyap sunyi sungguh sepupu Arif tu.” Panjang lebar Zarif mengomel.

Dia pelik kenapa Fiska jadi begitu. Tapi dia lagi pelik kenapa semenjak dua ni, dia kerap ‘usha’ blog Fiska.
Zarif menggaru kepala yang tak gatal.

“Sejak bila pula anak ibu ni rajin baca blog orang? Selalu tu busy memanjang dengan kerja dia. Sampai nak makan pun tak sempat.” Suhana merenung Zarif penuh kasih sayang.

“Arif, Ika diam mungkin sebab Arif kata yang Arif buat keputusan nak melamar dia sebab nak gembirakan hati ibu dengan ayah kot. Mungkin dia betul-betul suka Arif. Ibu Nampak wajah dia berseri-seri bila ibu kata Arif nak ibu melamar dia untuk anak ibu ni. Tapi lepas dah Arif beritahu macam tu, terus Ika buat keputusan yang dia tolak lamaran awak. Memang dia tak menangis. Tapi ibu dapat rasa, dia kecewa. Arif perasan tak?”

Zarif menjongketkan kedua-dua bahunya. “Entahlah umi. Arif pun tak tahu. Arif mana tahu hati perempuan ni ibu.” Jawab Zarif tersengih lagi. Tapi sebenarnya dalam hatinya, semasa Fiska menolak lamarannya, dia ada rasa ngilu.

“Betul ke anak ibu ni nak lamar Fiska sebab nak gembirakan hati ibu ayah je? Ibu macam susah nak percaya. Kenapa Arif ambil masa dua tahun baru nak gembirakan hati ibu dengan ayah? Betul Arif tak ada walau sikit perasaan untuk Ika?” Soal Suhana lalu meninggalkan Zarif dibiliknya.

Dia terlalu kecewa kenapa Zarif dan Fiska buat keputusan yang begini. Saling memendam rasa. Kalau hanya kerana takut Kak Long Hasnah berkecil hati, tahulah dia hendak memujuk kakaknya itu. Sungguh dia terkilan. Baik dengan Zarif mahupun Fiska.

“Arif suka dia ibu. Semua ni salah Arif.” Soalan ibunya dijawab perlahan. Ada air mata yang mengalir.


“Ya Allah, jika dia adalah jodoh yang terbaik untukku, untuk agamaku, untuk hidup dan matiku, serta untuk seluruh ahli keluarganya dan ahli keluargaku, permudahkanlah urusan penjodohan ini.” Doa Zarif dalam hati.
Walau Fiska menolak. Jika Fiska memang ditakdirkan untuknya. Datanglah dugaan seberat mana, pasti mereka ditakdirkan untuk bersama.



*****


“Fiska tak sihat ke sayang? Dari tadi mak long dengar Ika asyik batuk-batuk je. Kalau tak sihat, pergi masuk dalam rumah. Nanti pasu bunga ni mak long boleh alihkan sendiri.” Hasnah memandang Fiska yang berada di taman depan rumahnya.

“Ika sihatlah mak long. Alah, batuk ni sikit je. Kafarah dosa. Allah beri. Kita terima dengan lapang dada ye mak long.” Jawab Fiska sambil tersenyum manis.

Pin..pin…

Bunyi hon mengejutkan Hasnah dan Fiska. 
Hasnah menjenguk ke luar pagar rumahnya. ‘Zarif dah sampai.’ Bisik hatinya.

Fiska yang juga perasan dengan kedatangan Zarif segera menyambung kerjanya mengalihkan pasu bunga milik mak long. Langsung tidak diendahkan kedatangan Zarif itu. Manakala mak long sudah ke pintu pagar menyambut kedatangan anak buahnya itu.

“Assalamualaikum mak long. Ni ibu pesan suruh hantar pasu bunga pada mak long. Dia beli minggu lepas. Arif busy sangat, itu yang minggu ni baru sempat nak hantar.” Zarif hulurkan tangan bersalam dengan Hasnah. Hasnah menyambut huluran tangan Zarif. Mukanya jelas risau, kerana Fiska ada di dalam. Bagaimana kalau mereka berdua bertemu nanti?

“Nak letak mana pasu bunga ni mak long?” Tanya Zarif perlahan. Tersentak hatinya tatkala melihat Fiska turut berada di taman bunga mak long. Zarif menghulurkan senyuman. Fiska sekadar menundukkan kepalanya tanda hormat.

“Letak tepi tembok tu je dulu.Nanti mak long alihkan. Zarif duduklah dulu. Mak long masuk dalam buat air sekejap.” 

Hasnah sendiri tak pasti kenapa dia boleh buat keputusan meninggalkan anak-anak saudaranya itu sendirian di taman bunga miliknya. Laju langkahnya ke dapur.

Sudah hilang kelibat mak long di dalam rumah. Zarif duduk di atas buaian berdekatan taman mak long. Hanya memerhatikan Fiska yang sedang sibuk mengalihkan pasu bunga.

Gadis itu dari dulu sampai sekarang, diam je. Tapi kalau dalam blog, bukan main ‘kepochi’. Zarif tersengih sendiri.

Fiska pula masih sibuk membuat kerjanya. Lagaknya seperti orang tiada perasaan si Fiska ni. Langsung tiada perbualan tercipta selama 10 minit itu sebelum mak long memanggil masuk ke dalam rumah.

“Ika, mari masuk dalam. Minum dulu. Panas kat luar tu.” Jerit Hasnah dari ruang tamu rumahnya.

Zarif pula sudah duduk di sofa berwarna krim di ruang tamu. Dia ralit memerhatikan Fiska. 

“Ehem!” Deheman mak long membuatkan Zarif tersentak. Fiska sudah masuk dan duduk di sebelah mak longnya sambil mengambil gelas yang berisi air sirap. Fiska dan Zarif masing-masing membisu. Pandangan mereka hanya dihalakan di tv led di ruang tamu itu.

Hasnah tidak faham kenapa dengan Fiska dan Zarif bertindak seolah-olah saling tidak mengenali. 10 minit tadi dia beri ruang pada mereka berdua untuk berbicara. Namun tiada sepatah kata yang keluar. 
Sudahnya, dia memanggil budak berdua itu masuk. Mungkinkah mereka berlakon di depannya? Entah-entah di belakangnya, budak berdua itu masih berpacaran. Hatinya berbisik jahat.

‘Astargfirullah.’ Namun cepat-cepat dia tersedar.

Seminggu ini dia sering bermimpi Fiska memeluk dirinya sambil mengalirkan air mata. Dan setiap kali dia tersedar, dia juga turut mengalirkan air mata. Kejamkah dia kerana memaksa Fiska dan Zarif untuk berpisah? 

Tapi kata Suhana, budak berdua ni tak pernah bercinta. Kalau begitu, kenapa perlu kecewa. Bukankah masing-masing tiada perasaan Antara satu sama lain? Fiska, Zarif, kalian saling sukakah nak?
Fiska dan Zarif masih membatu seperti tadi. Walau dulu mereka juga jarang bercakap, tapi sekarang ni dah macam orang asing. Macam tak pernah kenal langsung.

Hasnah berperang dengan perasaan sendiri. Timbul rasa kesian pada budak berdua itu. Mungkinkah dia yang patut beralah?


******

Ok, nah part 2. Kalau sesiapa yang ada bacalah kan.
Heee kesiannya Zarif. Fiska. 
Mintak-mintaklah Mak long Hasnah boleh ubah fikiran.
Aamiin..

Oke, terima kasih sudi baca sambungan cerpen Jodoh Berdua ini. 

Esok dah 15 Syaaban. Malam ni, nisfu syaaban lah kan?
Jom maksimakan amal ibadah kita. Buat yang mampu, tapi nawaitu biar ikhlas kerana Allah.
Mohon supaya Dia rezekikan kita untuk istiqamah sampai akhir hayat kita. Aamiin.

Sekian, Assalamualaikum w.b.t

Niyaz Arumi~

Wednesday, June 11, 2014

Jodoh Berdua - Part 1

****

“ Kau dah tak ada orang lain untuk dijadikan calon suami ke Fiska Nasuha?” Jerit Mak Long tepat pada wajah Fiska.

Fiska tersentak. Air mata sudah tak mampu dibendung. Sangkanya, pemilihannya itu tepat. Sangkanya lagi, jika di uar-uarkan berita ini, ramai yang akan menyokong.

Sayang seribu kali sayang. Kita merancang, Allah juga merancang. Tapi perancangan Allah jauh lebih baik bukan?

                “ Maafkan Ika  Mak Long."  Hanya Allah yang tahu betapa perit apa yang dirasakan ini. Tidak tahu apa yang patut dituturkan saat ini. Mak Long tidak mengendahkan ucapan maaf Fiska.

                “ Haa kau Faizah, Mansor, kenapa biarkan anak kau orang berdua ni buat keputusan sendiri?”  Tanya Mak Long pada umi dan ayah Fiska. Matanya mencerlung tajam.

                “Kamu berdua pun, Suhana, Zainal? Kenapa dibiarkan perkara ini? Kenapa tak ditegah?” Soal Mak Long bertalu-talu kepada ibu ayah Zarif pula.


Fiska memandang sedih raut wajah kedua orang tuanya dan Mak Ngah Su serta Pak Ngah Zainal. Sebak menyelinap ke seluruh urat saraf. Fiska pandang wajah tua umi dan ayahnya silih berganti. Air mata tak henti mengalir. Hatinya pedih.

                “Mak Long, kami baru bertanyakan pendapat. Saya baru bercadang nak melamar Fiska. Salahkan saya? Salahkah saya dan Fiska nak minta pendapat Mak Long.” Zarif mencelah. 

Dilihatnya Fiska hanya menunduk.
Tidak sanggup dia melihat wajah Fiska yang sudah dibasahi air mata. Luluh hatinya melihat wajah murung Mak cu Iza dan Pak cu Man nya.

Zarif memandang wajah ibu dan ayahnya juga di sudut hujung ruang tamu itu. Nampak tenang namun dia pasti mereka turut kegelisahan.

Zarif melepaskan keluhan berat. Sememangnya dia jangkakan perkara ini akan berlaku. Dalam hati masih memikirkan apakah keputusan terbaik untuk dirinya mahupun Fiska sendiri. 

Suasana di ruang tamu itu sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas di atas siling ruang tamu itu.

Apa yang dikatakan oleh Zarif ibarat masuk telinga kiri keluar di telinga kanan Mak Long Hasnah.
Beberapa minit kemudian Mak Long bersuara.

                “ Tolonglah Fiska, Zarif. Fikirkan semula keputusan kamu berdua. “ Namun kali ini suara Mak Long sudah mengendur.  Tidak marah-marah lagi seperti tadi. Barangkali penat untuk menjerit.

Mak Long menyambung lagi, “Kalau kamu berdua nak teruskan juga, anggap saja Mak Long dah mati.”

“Astarghfirullah, apa yang kak Long cakap ni?” Jerit Faizah kuat. 

Fiska itu anaknya. Kenapa Kak Long perlu marah sangat jika Fiska dan Zarif buat keputusan untuk mendirikan rumahtangga? Mansor mengusap belakang badan isterinya dengan harapan isterinya itu lebih bersabar.

Fikiran Faizah terus melilau jauh. Salahkah mereka? Zarif seorang pemuda yang baik. Sayang sungguh kalau tak dapat dijadikan menantu. Ya, Faizah akui dalam Islam, berkahwin dengan sepupu itu tidak digalakkan. Tapi kalau itu dah ketentuanNya, siapa dia untuk menolak?

Semua yang berada di ruang tamu itu senyap sunyi. Tak tahu untuk berkata apa lagi. Kerana kalau pendapat dikeluarkan dalam keadaan yang meruncing seperti ini, sudah pasti masalah menjadi bertambah buruk.

                Mak Long tidak mengendahkan pertanyaan Faizah sebentar tadi. Sebaliknya terus berkata, "Fiska, Zarif. Kamu berdua dah cukup matang untuk buat keputusan bukan? Kamu berdua, sama-sama baik budi pekerti. Pasti ada yang lebih baik untuk Fiska mahupun Zarif sendiri. Fikirlah baik-baik. Mak long sayangkan kamu berdua macam anak mak long sendiri.” Panjang Mak Long menasihati walau hatinya turut terluka.

Dia bukan tak mahu terima ketentuan Allah. Tapi dia tak tahu kenapa begitu sukar menerima berita ini. Dia langsung tidak menyangka anak-anak saudaranya berpacaran! Gila! Mana pernah dalam sejarah keluarga mereka, sepupu bernikah dengan sepupu sendiri. Jangan tanya kerana dia memang tidak punya jawapan.



*****


“ Beginilah Kak Long, biar kami semua balik dulu. Bincang dengan Zarif dan Fiska.” Akhirnya Pak Ngah Zainal membuat keputusan untuk beredar dari rumah Kak Long Hasnah. Keluhan berat dilepaskan. Dia tahu perkara ini sukar. Sudah dia sedia maklum dengan ketegasan Kak Long Hasnah. Hitam katanya, hitam jugalah keputusannya.

“ Kak Long, yang nak bernikah itu anak kami. Su tak faham kenapa kak long perlu emosi sampai begini sekali. Su betul-betul tak faham. Mungkin kak long rasa, anak saya Zarif belum cukup baik untuk Fiska? Atau mungkin kak long rasa Fiska tak cukup baik untuk Zarif?” Tiba-tiba Suhana bersuara, melepaskan apa yang terbuku di hati.

“Naluri hati saya sebagai ibu ni dah sangat kuat mengatakan jika Zarif dan Fiska bertemu jodoh, mereka akan bahagia. Kenapa kak long nak seksa anak kami? Sejujurnya kak long, budak-budak ini tak pernah bercinta pun macam tuduhan kak long tadi. Saya yang tergerak nak satukan mereka. Itupun usul itu saya cadangkan pada Zarif dua tahun yang lepas.” Suhana mula bercerita tentang usulan yang dicadangkan kepada anaknya dua tahun lepas.

Namun ketika itu, Zarif hanya diam. Tiada respon yang diberikan. Fiska juga begitu apabila diusulkan perkara yang sama. Dua tahun lamanya, jangka masa yang panjang untuk membaca keputusan anaknya. Pasti anaknya itu tidak berminat. Jadi dia dan suaminya sudah lama melupakan perkara tersebut.

Namun takdir Allah mendahului perancangan mereka. Minggu lepas, Zarif menyatakan hasrat ingin menyunting Fiska sebagai isterinya. Zarif tidak menerangkan apa-apa, cuma permintaannya ingin melamar Fiska. Sangka Suhana lagi, jika dinyatakan perkara ini kepada kak longnya, kakaknya itu akan gembira sepertinya. Namun, tak sangka perkara ini terjadi. Niat di hati ingin berkongsi kegembiraan dengan kakak kesayangannya dan Faizah. Namun, penolakan dan herdikan yang mereka semua terima. Dugaan apakah ini Ya Allah? Sempat hati kecilnya berbisik.

                Mak long Hasnah menarik nafas panjang. Air matanya berlinangan. Selama ini dia yang menjaga Suhana, Umar dan Faridah, sejak dari mereka kecil. Sedih sungguh hatinya jika adik-adik perempuannya itu membuat keputusan yang melukakan hatinya. Zaman remajanya dia habiskan dengan bekerja, mencari duit untuk adik-adiknya meneruskan hidup dan pelajaran selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Namun rasa sedih dan kecewa itu hanya dipendam di dalam hati.

                “ Sudahlah tu Su. Apa pun kita bincang dulu dengan Zarif dan Fiska. Apa jua keputusan mereka nanti, kita kena redha. Saya pun harap kak Long boleh redha kalau keputusan yang dilakukan itu bukan seperti apa yang kak Long minta.” Pujuk Zainal kepada isterinya. Diselitkan juga kata-kata buat kakak iparnya.

Mak long Hasnah mengangguk lesu di atas sofa. Dia sudah tidak betah memikirkan apa-apa. Betullah apa yang dikatakan Suhana. Dia siapa untuk menghalang. Zarif dan Fiska bukan anak-anaknya, cuma anak saudara.

" Kami balik dulu kak long." Mereka semua menghulurkan tangan untuk bersalam. Namun, huluran itu tidak seperti biasa. Seolah-olah tak sudi menghulurkan salam.


Saat mereka semua sudah berada di pintu pagar rumah Mak Long, Zarif dan Fiska terpandangkan wajah masing-masing sebelum menaiki kereta. Namun segera mereka menundukkan pandangan. Masing-masing sedang bercelaru memikirkan keputusan yang terbaik. Antara hati yang baru nak berputik rasa sayang ataupun memilih untuk hati mak Long supaya tidak disakiti. Fikirlah Fiska. Fikirlah Zarif. Buat keputusan yang terbaik. Moga Allah redha.


*******

Untuk pembaca blog sekalian.
Saya memang minat menulis. Tapi kebanyakannya terbiar sepi dalam laptop. Lalu tergantung. Haha.
Cerpen part 1 ini sekadar suka-suka saja. Merealisasikan hobi dan impian.
Kritikan yang membina amat dialu-alukan. Supaya saya boleh memperbaiki apa jua kesalahan.
Jangan tanya bagaimana idea ini tercetus, kerana saya tak cukup kuat untuk menjawabnya.

Terima kasih sudi baca cerpen Jodoh Berdua ini. Nak ke sambungan? Kalau tak nak pun, saya akan sambung cerita ni sampai habis. 

Sekian.

Assalamualaikum.

Niyaz Arumi~

CANVA YEAH ^-^

  Ehh best jugak edit pakai canva ni ya. Haip! Jangan gelak. Saya budak hanya baru belajar. ^-^ Tapi untuk pertama kali ni, aduhai, macam ke...