Monday, June 23, 2014

Jodoh Berdua - Part 3 (Akhir)




****

                “Betul ke ni mak long?” Zarif menyoal dengan rasa tidak percaya.

Apa mimpi mak long nya itu? Kenapa tiba-tiba beri kebenaran kepada dia untuk kembali melamar Fiska? Kenapa ya? Apa yang tidak kena? ‘Heh la Zarif, 3 bulan lepas, mak long tak restu pun kau mempersoalkan, yang ni, dah diberi pun sibuk mempersoalkan. Apa yang kau nak Zarif oi?!’

                “Ya. Betullah. Dah seminggu mak long fikir. Kadang-kadang mak long rasa, mak long ni hanya fikirkan tentang hati dan perasaan mak long saja. Pasal orang lain mak long tak fikir pun. Mesti Zarif dengan Fiska dah cop mak long ni mak saudara yang kejam kan? Macam dalam cerita Ibu Mertuaku. Haha.” Panjang Hasnah menerangkan sambil berlelucon.

Zarif tergelak. Pandai saja mak longnya itu serkap jarang.

Memanglah diakui perkara itu bukan mudah untuk dia lalui. Hendak pula sekarang ini dia kerap memikirkan gadis bernama Fiska Nasuha itu. Berapa kerap? Entahlah, tak tahu nak jawab macam mana. Aura apa yang ada pada gadis itu?

“Parah dah kamu ni Zarif. Asyik termenung je sekarang ni.” Usik Mak Long.

Zarif tersengih. “Tak adalah mak long. Rif teringat kerja kat pejabat je tadi. Busy betul sekarang ni.”

“Yelah tu. Ingat mak long nak percaya.” Hasnah senang melihat riak wajah Zarif yang ceria itu.

Biarlah dia ketepikan hati dan nafsu amarahnya demi kebahagiaan anak-anak buah tersayang. Semoga kebahagiaan akan jadi milik mereka suatu hari nanti. Sempat Hasnah berdoa di dalam hati.

“Jadi bila Zarif nak ajak ibu ayah pergi masuk meminang Fiska?” Tanya mak long tanpa berselindung.

Namun belum sempat Zarif menjawab, terdengar ada suara memberi salam. Zarif menjengukkan kepala ke luar rumah. Manakala mak long pula sudah berada di pintu.

“Wa’alaikumussalam Fiska. Amboi, kuatnya jodoh. Asyik bertembung je.” Mak long menjawab salam. Kemudian memandang Zarif sejenak. Zarif berdehem perlahan. “ Ehem, kitorang tak berjanji pun mak long. Kebetulan je ni.” Zarif sudah mula menggelabah.

“Eh mak long tak cakap apa-apa pun.”

Usai grill ditarik. Fiska menghulur salam dan mencium kedua-dua pipi mak long lembut.

“Rindunya Ika pada mak long.” Ujar Fiska sambil memeluk mak long kuat.

“Iyalah sayang. Mak long pun rindu awak.” Hasnah membalas pelukan Fiska. Manja sungguh Fiska dengan dirinya.

Zarif hanya memerhatikan gelagat dua wanita di hadapannya itu. Namun matanya lebih tertumpu pada Fiska. Lama sudah dia tak dengar ‘berita’ mengenai Fiska. Gadis itu seakan terus menyepi dari pandangan mata. Marahkah gadis itu kerana dia tidak membalas emel yang dikirimkan oleh Fiska? Zarif garu kepala yang tak gatal.

Fiska melepaskan pelukan mak long. Memandang Zarif dan menundukkan kepala tanda hormat. ‘Haih kenapalah mamat ni ada kat rumah mak long pulak? Janganlah dia cuba-cuba nak borak dengan aku. Malu tak habis lagi ni sebab dia tak balas emel aku.’ Sempat Fiska membebel di dalam hati.

“Ika, nak datang tak beritahu pada mak long pun.” Soal mak long mencipta perbualan selepas mereka duduk di sofa. Zarif sudah ke dapur untuk membuat minuman untuk mereka bertiga.

“Ala mak long ni, Ika nak datang pun kena buat temu janji ke? Haha. Comel lah mak long ni.” Balas Fiska sambil mencubit pipi Hasnah.

“Ika rindu sebab itu Ika datang. Sementara Ika ada lagi ni.” Wajah mak long di tatap penuh kasih.

“Oh patutlah malam tadi mak long mimpi Ika datang peluk mak long nangis-nangis. Rindu kat mak long rupanya. Budak manja!” Kali ini mak long pula menarik pipi Fiska. Terjerit Fiska sekejap.

Tak lama kemudian, Zarif datang menantang dulang membawa minuman dan biskut kering.

“Rajinnya anak buah mak long ni. Ada ciri suami yang baik ni.” Usik Mak long sambil tersengih-sengih.
Zarif menjeling mak long dan memberi isyarat supaya jangan berlebih-lebihan.

“Betul tak Fiska?” Mak long tidak mengendahkan jelingan Zarif. Kini giliran Fiska pula diusik.

Fiska tersenyum manis dan mengangguk.

“Jemput minum Ika, mak long.” Pelawa Zarif sopan. Langsung tidak diendah pujian Mak Long sebentar tadi. Zarif merenung Fiska sekilas.

Gadis itu biasa-biasa saja. Seperti tiada masalah yang melanda. Walhal dia sendiri dah rasa nak pecah kepala sewaktu menerima keputusan Mak Long yang tidak merestui hajatnya. Rasa sakit bila Fiska juga membuat keputusan untuk tidak menerima lamarannya. Dan dia sebagai seorang lelaki, masih diletakkan ego di tempat yang tinggi. Jika Fiska tak sudi, dia pun buat-buat tak sudi juga. Habis cerita! Oh tak habis pun, sebab sekarang ni mak long dah setuju. Macam mana nak beritahu Fiska yang dia nak melamar gadis itu semula?

Kalau macam tu, nampak macam terdesak sangat kot? Tapi kalau tak, dia sendiri yang gigit jari. Apa pun, Zarif dah nekad, gadis itu mesti dilamar sekali lagi. Tentang hati dan perasaannya, biarlah Fiska tahu selepas mereka bernikah satu hari nanti. Fiska tak perlu tahu rahsia hatinya saat ini.


*******

“Riff, orang tanya dia mengelamun pulak.” Suara mak long yang kedengaran membuatkan Zarif tersentak dari lamunan. Zarif sengih senget. Dia pandang Fiska. Gadis itu menjatuhkan pandangan.

Haih pemalu benar cik Fiska ni. Cubalah senyum sikit kat bakal suami ni. Menceceh Zarif di dalam hati. Tak apalah. Belum halal.

“Mak Long tanya apa tadi?” soal Zarif pendek.

“ Oh mak long tanya, bila awak nak hantar rombongan meminang Fiska ni?” Jawab mak long ‘straight’.

“Uhukkk!!” Zarif yang ketika itu hendak minum air, lantas tersedak. Mak oiii, mak long ni dah kenapa advance sangat. Aku bincang dengan ibu ayah pun belum lagi. Patutlah Fiska tak nak pandang dia langsung. Haihh. Keluh Zarif dalam hati.

“Ehemm.” Zarif berdehem melegakan tekaknya.

“Kalau Ika setuju, nanti Arif beritahu pada ibu dengan ayah hantar rombongan bulan depan.” Beritahu Zarif yakin. Dia nak Fiska tahu dia bukan main-main dalam hasratnya itu.

“Kalau pasal Fiska ni, mak long yakin dia mesti setuju. Kalau tidak takkanlah muka dia macam panda tertelan tapai basi setiap kali nampak kamu.” Yakin benar mak long dengan telahannya.

“Hahaha.” Zarif tidak mampu tahan gelak. Ada pulak mak long ni buat perumpamaan panda tertelan tapai basi. Ada ke tapai basi?

Wajah Fiska pula sudah mula memerah kerana gurauan mak long itu. Dalam hati dia bersyukur. Kerana Allah permudahkan segala urusan. Dia tak sangka dia akan dapat anugerah terindah ini. Setiap perkara yang didoakan lalu diperkenankan Fiska pasti akan menyebut itu anugerah terindah dari Yang Maha Esa. Syukur Alhamdulillah.



******


“Aku terima nikah, Fiska Nasuha binti Mansor dengan mas kahwinnya RM300 tunai.” Lafaz akad oleh Zarif sebentar tadi benar-benar meruntun jiwa Fiska. Rasa syukur, sebak, gembira, takut semuanya bercampur baur. Semoga jodoh mereka berdua sampai ke syurga. Semoga dia dan suaminya sama-sama berusaha untuk menjadikan keluarga baru ini sakinah, mawwadah, wa rahmah. Dan semoga Zarif mengerti impian dan cita-citanya. Semoga dia dan Zarif mempunyai satu fikiran ke jalan yang diredhai Allah. Semoga kita satu jalan. Doa Fiska dalam hati. Tenang hatinya saat ini. Semoga mereka berdua mampu menggalas tanggungjawab dan amanah Allah ini.



*****


“Assalamualaikum.” Sapa Zarif perlahan apabila melihat Fiska ralit di depan Laptopnya.

Fiska menoleh dan tersenyum malu. “Wa’alaikumussalam.” Fiska menghulur tangan dan Zarif menyambutnya dengan rasa bahagia.

Zarif memberi isyarat supaya Fiska mengesot sedikit ke kiri kerusi tanda dia mahu duduk di sebelah kanan Fiska. Fiska segan, tak pernah pulak dia sedekat ini dengan mana-mana lelaki. Namun permintaan itu adalah dari suaminya. Maka dihilangkan segala rasa segan dalam hati. Lama-lama biasalah tu Fiska. Pujuk hatinya.

“Saya dah kat sebelah awak ni pun awak nak berangan lagi?” Soal Zarif memecah sunyi.

Fiska tersengih. “Taklah. Mana ada berangan.” Fiska mati kutu. 
Haih nak borak apa dengan mamat ni weh? Fiska garu kepala yang tak gatal.

“Fikir apa? Awak takut dengan saya ke? Ataupun awak tengah fikir nak borak apa dengan saya?” Tebak Zarif.

Fiska memandang ke sisi. Teruja sebab Zarif pandai baca isi hatinya. Wah, baru sehari jadi suami, Zarif dah tunjukkan dia seorang yang memahami. Fiska teruja.

Zarif mengangkat kedua-dua keningnya. “Saya tahu awak puji saya dalam hati kan?”

“Eiii, perasan! Saya tak tahu pulak suami saya ni seorang yang perasan. Haha.” Jawab Fiska mengusik.

“Alah Ika, awak tak payah cakap pun saya dah tahu.” Jawab Zarif tak nak kalah.

Fiska tersengih saja. Membenarkan telahan Zarif. Matanya ditumpukan ke arah skrin laptopnya.

Tangan Zarif pula sudah berjalan di ‘mouse’ yang berada di atas meja. Butang “Publish” di skrin ditekan.

“Alahai isteri saya ni, dah buat entry baru tapi tak nak publish. Tak tahu ke awak ni ada peminat setia.” 

Ramah Zarif hari ini. Dah jadi suami lah katakan. Kenalah pandai mencipta komunikasi. Fiska pun jenis banyak mulut juga, Cuma dengan Zarif, dia belum dapat membiasakan diri lagi. Baru-baru lagi.

“Saya tahu siapa peminat setia saya tu. Awak kan? Awak suka usha blog saya kan?”

“Eiii, perasan! Saya tak tahu pulak isteri saya ni seorang yang perasan. Haha.” Zarif memulangkan paku buah keras.

“Eee tak sukalah dia ni, kenakan orang balik.” Fiska merendahkan tone suaranya. Konon-konon merajuk. Haha, merajuk sangat. Bukan Fiska lah nak merajuk ni. Saja dia nak usik Zarif.

“Eh alah, isteri saya merajuk. Kesianlah perut saya besok pagi. Mesti lapar.” Zarif bersuara sambil memegang perutnya.

Fiska memandang Zarif pelik. Dah kenapa pulak kes merajuk dengan dia sakit perut ni?

“Awak jangan kedip-kedip mata macam tu depan orang lain tau Puan Fiska. Nanti saya cemburu.” Kata Zarif lagi. Makin pening Fiska dengan tingkah dan tutur Zarif.

“Hurm apa kena mengena saya merajuk dengan perut awak lapar dengan kedip-kedip mata ni?” Soal Fiska lurus.

“Hurm sebab kalau awak merajuk, dan kalau saya tak pandai pujuk, awak mesti tak nak buat sarapan untuk saya esok. Nanti laparlah saya. Lagi, jangan kedip mata, buat muka comel macam tu depan lelaki lain. Nanti hubby awak ni cemburu. Dah faham, sayang?” Jawab Zarif panjang lebar.

“Haha. Awak ni buat lawaklah. Awak je lelaki yang sudi pandang saya yang comot ni.” Jawapan Zarif menggeletek hatinya. Zarif tersenyum.

“Zarif. Terima kasih sudi ambil saya jadi isteri awak.” Lembut  tutur kata Fiska.

Zarif senyum dan menoleh pada Fiska. 

“Fiska, terima kasih juga sebab terima saya. Kalau ada kekurangan pada diri saya, mohon awak terima segalanya. Lengkapkan kekurangan yang saya dengan kelebihan yang ada pada awak. Awak dan saya akan berusaha bersama-sama untuk menjadi seorang suami isteri yang soleh solehah. Kita belajar juga jadi abah dan ummi yang terbaik buat zuriat kita satu hari nanti.” Balas Zarif tulus.

Fiska terharu. Disandarkan kepala di bahu Zarif. Tangan Zarif digenggam erat.

“Saya tahu awak ada baca entry tu. Terima kasih sebab sudi memahami isi hati saya. Kita usaha sama-sama ya. Kalau saya ada banyak buat kesilapan, awak tegurlah saya. Saya nak jadi isteri awak, bukan hanya kat dunia ni, tapi di akhirat juga. Sampai kita jumpa semula dalam syurgaNya.” Luah Fiska sambil air mata mengalir di pipi.

Zarif mengelus lembut bahu isterinya. Menenangkan jiwa antara satu sama lain.

“Isteri saya ni, sedih campur gembira. Malam ni, kalau awak terjaga. Kejut abang sekali. Kita tahajjud sama-sama tau. Luahkan apa yang awak rasa itu pada Allah. Dia yang paling memahami apa yang isteri saya rasakan saat ini.” Lembut suara Zarif menyapa telinga Fiska.

Fiska mengangguk. Sekali lagi air matanya mengalir. Fiska cukup terharu dengan hadiah yang tak ternilai yang Allah kurniakan buat mereka berdua.

“Abang, kalau awak yang terjaga dulu. Kejutkan saya. Kita panjatkan rasa syukur kita, sama-sama.”

Kali ini, Zarif yang tidak dapat menahan sebak. Air mata gembira turut mengalir di pipinya.

“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!” 

Zarif dan Fiska sama-sama bermunajat dalam hati. Ralit mengingati, mensyukuri nikmat yang Allah berikan buat mereka berdua. Terima kasih Allah, untuk segala ujian dan dugaan yang Kau berikan pada kami.

'Jika diri mahu bahagia, jangan pernah takut menerima ujian dari Allah yang mencabar. Jika bahagia bukan di dunia, Allah pasti akan berikan di akhirat kelak. Bila punya rasa cinta, sujudlah pada Dia, kerana Dia yang anugerahkan perasaan itu. Segala-galanya akan berbalik kepada Dia. Walau bahagia sedetik cuma, syukurilah nikmat itu.'


*****

“Kami minta maaf Encik Zarif. Kami dah cuba yang terbaik untuk menyelamatkan Puan Fiska. Kanser otak yang dialaminya itu sudah terlalu serius. Daripada Allah kita datang, kepadaNya juga kita kembali.” Suara doktor Halim menyebabkan Zarif hilang imbangan dan terduduk di lantai.

Berat sungguh dugaan ini. Terngiang-ngiang suara Fiska semenjak wanita itu menjadi isterinya sebulan lepas. 

Walau bahagia sedetik cuma, syukurilah nikmat itu.’

Rupanya sedari awal Fiska sudah mengetahui tentang perkara itu.

Zarif kesal kerana terlewat mengambil Fiska menjadi isterinya.

Zarif kesal kerana mengambil terlalu lama masa sedangkan di awal permintaan ibunya, dia sendiri sudah tertarik pada Fiska. Bukan kerana terpaksa atau menuruti kehendak ibunya.

Zarif kesal kerana tempoh dia rasakan terlalu singkat bersama Fiska.

Allah. Allah. Allah. Berilah kekuatan.

“Zarif, selepas seminggu Fiska bernikah dengan kamu, arwah ada beri surat ni pada ummi. Pada mulanya ummi tak mengerti. Bila ummi tanya kenapa dia tak mahu beri sendiri. Dia kata, dia nak ummi sampaikan bila dia tak mampu nak beri sendiri. Sabarlah nak. Ujian dari Allah ini manis. Semoga kalian akan berjumpa semula di syurga kelak.” Puan Faizah redha dengan kehilangan puteri kesayangannya. Sekurang-kurangnya dia tahu anaknya itu sempat bahagia walau hanya sedetik cuma. 'Semoga kau mampu menghadapinya nak.' Doa Faizah dalam hati. Air matanya mengalir perlahan.


*****


"Assalamualaikum, awak. Bila surat ni dah sampai di tangan awak. Maknanya saya dah tiada lagi di sisi awak. Saya dah tak boleh temankan awak tahajjud sama-sama. Saya dah tak boleh nak temankan awak pergi majlis ilmu. Bagaimana kita mampu menahan perasaan yang wujud sebelum kita bernikah, tanpa berada di sisi, antara satu sama lain, macam itu jugalah saya harapkan awak kuat. Jalani hidup tanpa saya di sisi. Berbekalkan cinta kepada Allah. Awak mampu teruskan hidup tanpa saya. Jangan pernah kesal dengan apa yang berlaku.

Takdir kita, Allah dah tentukan begini. Walau baru seminggu menjadi isteri awak, saya dah cukup bersyukur. Maaf bukan kerana saya tak mahu beritahu tentang sakit saya ni. Tapi saya tak cukup kuat. Dan doktor hanya beri saya tiga bulan dari sekarang. Doktor hanya beri tempoh, tapi andai kata ajal saya sampai lebih awal dari itu, saya tetap kena pergi walau berat hati ini. Ketahuilah awak, sepanjang saya menjadi isteri awak, saya terlalu bahagia dengan nikmat yang Allah beri ini. Walau sebentar cuma.

Terima kasih sudi terima isteri awak, yang kurang serba serbi ini. Terima kasih untuk ilmu-ilmu yang awak share dengan saya. Terima kasih sudi jadi imam saya. Terima kasih kerana sudi jadi husband saya, kawan baik saya, teman saya, penasihat saya. Ana uhhibuka fillah, abang. (Abang, jawablah ‘Ahabbaka llazi ahbabtaniy lah.' Hehe, saya tahu awak selalu cakap macam ni masa saya tidur. Saya selalu jawab dalam hati je. Kesian awak.)

Awak, jangan terlalu sedih dengan pemergiaan saya. Teruskan jalani hidup awak. Awak kata, awak cintakan saya kerana Allah. Dan bila Allah, berikan ujian begini, awak mampu laluinya. Kita sama-sama tahu kan, walau kita dijodohkan berdua, namun akhirnya, kita tetap akan saling meninggalkan antara satu sama lain. Jangan pernah rasa bersalah, kerana saya tak pernah salahkan awak, ketika awak berkata awak terlewat membuat keputusan.

Sayang, sekurang-kurangnya kita ini, masih diberi kesempatan untuk bahagia. Bersyukurlah. Kerana di luar sana, masih ramai lagi yang menyimpan rasa. Tak mampu meluahkan. Dan belum boleh menggapai bahagia. Kita, walaupun sedetik cuma, masih mampu tersenyum bahagia kerana dijodohkan berdua. Akhir sekali, teruskan hidup awak, sambunglah cita-cita dan impian awak. Maaf andai kerana saya, cita-cita dan impian awak itu tertangguh. Redhakan saya pergi. Halalkan segala makan minum saya sepanjang jadi isteri awak. Maafkan segala dosa atau kesilapan ketika saya bergelar isteri awak. Semoga kita berjumpa lagi di sana nanti. Hidup baik-baik abang. Jaga iman, jaga solat. Assalamualaikum."

Love,
Fiska Nasuha Mansor ~


Zarif melipat semula surat yang diberi oleh mak mentuanya semalam. Air matanya mengalir lesu. Surat terakhir dari Fiska sedikit sebanyak memberikannya kekuatan. 

“Ika, abang sayang awak. Semoga kita berjumpa di syurga Allah satu hari nanti. Jodoh kita berdua di dunia sudah Allah tentukan. Semoga jodoh kita panjang sehingga ke akhirat. Semoga Allah berikan abang kekuatan untuk teruskan hidup ini, teruskan cita-cita dan impian bersama kenangan singkat kita.”

Zarif merebahkan kepala di atas bantal. Dia melelapkan mata. Air mata yang mengalir hanya dibiarkan. 
Selagi nyawa masih berbaki, dia akan meneruskan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi. Itu cita-citanya. Juga cita-cita arwah isterinya. Isteri kesayangannya, Fiska Nasuha Mansor.


~ Tamat ~



 Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t

Seperti yang dijanjikan, saya habiskan juga cerpen ini. Ada pulak cerpen sampai 3 bahagian ye Yani? Hehe cerpen suka-suka bolehlah. Sebenarnya dari minggu lepas dah buat. Cuma tak berkesempatan nak publish je. Busy sikit. Oke, nah kisah terakhir Zarif dan Fiska. 

Sebenarnya bila baca novel atau cerpen, saya kurang gemar baca sad ending. But, this is the fact. The real life. Sebagaimana awak sayang pada seseorang itu, kita tetap akan saling ditinggalkan. Syukurilah dengan nikmat bahagia yang Allah beri walau ia singkat. Hargailah orang yang awak sayang sementara dia masih ada. Kita ni, akhirnya mesti akan meninggalkan dunia ini. Jangan pernah lupa akan hakikat itu. 

Mungkin akan ada yang menganggap, mungkin cerita ber 'jiwa-jiwa'. Namun suka untuk saya ingatkan, segala apa yang terlahir di sini, ada kekurangannya. Ada cita-cita dan impian yang terselit di akhir cerita. 
Terima kasih andai ada yang sudi baca cerpen dan entry ini.

Kuatkan jiwa bila terduga.
Tabahkan hati bila di sapa ujian.
Hadapi dengan tenang dan tabah berbekalkan cinta kepada Allah.
Dia pasti sudi hulurkan ketenangan itu buat kita.

Sekian, wassalam.

Norzayani binti Norhamshah.





No comments:

Post a Comment

CANVA YEAH ^-^

  Ehh best jugak edit pakai canva ni ya. Haip! Jangan gelak. Saya budak hanya baru belajar. ^-^ Tapi untuk pertama kali ni, aduhai, macam ke...