Friday, June 20, 2014

Tiga Kedudukan Puasa...

Persoalan agama bersama Jakim
SETIAP tahun umat Islam berpuasa sepanjang Ramadan. Saya bertekad menjadikan Ramadan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini. Saya tidak lagi hanya mahu menahan lapar dan dahaga, tetapi masih melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam, walaupun pada pandangan sesetengah orang, perbuatan itu hanya dosa kecil. Saya ingin berubah. Bagaimanakah saya boleh melaksanakan ibadah selama sebulan ini dengan berkesan.
Puasa adalah ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mengenai puasa:
“Puasa ada tiga kedudukan: Puasa Umum, puasa Khusus dan puasa khusus al-Khusus. Puasa Umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Puasa Khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa. Puasa khusus ialah menahan hati daripada keinginan buruk dan tidak memikirkan sesuatu selain daripada Allah dan ini ialah puasa nabi, al-Siddiqin dan al-Muqarrabin.
Seseorang berazam dan bercita-cita melaksanakan puasa dengan berkesan; Pertama hendaklah berpuasa dengan penuh ketaqwaan kepada Allah SWT kerana mengharapkan pahala dan reda-Nya. Kedua, perlu bermujahadah daripada melakukan ataupun menghampiri perkara menerbitkan dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar. Ketiga, perlu bersabar dalam menghadapi keinginan diri dan godaan luaran yang boleh mengurangkan pahala puasa.
Imam al-Ghazali juga menggariskan panduan bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang salih, seseorang perlu menyempurnakan enam perkara iaitu;
Menundukkan pandangan dan menahan diri daripada melihat perkara tercela dan dibenci syariat dan melalaikan hati.
Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya.
Menahan diri daripada mendengar perkataan dibenci syarak.
Menahan anggota tubuh daripada melakukan perkara haram seperti menahan perut daripada memakan makanan yang haram atau syubhah.
Makan makanan halal berlebihan sehingga terlampau kenyang.
Perlu timbul dalam hati, perasaan takut dan berharap agar puasa dilaksanakan diterima Allah SWT dan diampunkan dosa.
Bagi mencapai ibadah puasa Ramadan ini dengan lebih berkesan disarankan dan wajar sekali menuruti panduan di atas.
Semoga bermanfaat.
Sumber di sini <~ (sila klik)
Assalamualaikum w.b.t ...

No comments:

Post a Comment