*****
“Hai anak umi ni fikir apa, ralit
sangat depan laptop tu, tapi umi tengok awak tak tai papa-apa pun?” Tegur
Faizah lembut.
Sejak dua minggu lepas, anaknya
ini lebih banyak mendiamkan diri. Kecewakah dia? Tapi mengapa keputusan itu
yang anaknya lakukan, sedangkan dia dan suaminya sudah mengatakan tidak akan
membantah walau Fiska pilih untuk terima pinangan Zarif.
Fiska memberi senyuman lembut
buat uminya.
“Tak ada apalah umi. Ika tengah
fikir nak buat entry baru dalam blog ni. Tapi Ika tak ada idea. Tak tahu nak
tulis apa.” Balas Fiska sopan.
Kemudian Fiska berjalan menuju ke
katilnya, duduk di sebelah uminya.
“Umi, Ika tahu kenapa umi masuk
bilik Ika. Umi nak tanya pasal Zarif kan?” Fiska menarik nafas dan
menghembuskannya perlahan. Walau apapun, dia tak boleh buat Umi susah hati.
“Ika sayang, betul ke keputusan
yang Ika buat tu? Umi tengok sejak hari tu, anak umi ni jadi lagi pendiam. Ika,
kalau Ika suka pada Zarif. Kita boleh pujuk Mak Long, sayang.” Lembut pujukan
Faizah pada anak tunggalnya.
Faizah menarik kepala Fiska
lembut lalu dilabuhkan di bahunya. Jemari lembutnya mengusap kepala Fiska.
“Ika ok lah umi. Jangan risaulah
umiku sayang.” Fiska ketawa perlahan. Namun Fiska terlupa agaknya, bahawa dia
sedang bercakap dengan orang yang melahirkannya. Mana mungkin Faizah tak dapat
menyelami isi hati anaknya itu.
“Up to you lah sayang. Cuma satu
umi nak nasihat. Walau apa jua masalah Ika, bebanan perasaan Ika. Tolong jangan
simpan seorang diri.” Kali ini kedua-dua tangan Faizah sudah mencengkam lembut
di kepala Fiska. Mata Faizah merenung sayu wajah anak gadisnya itu. Kenapa
Fiska nampak tak bermaya kebelakangan ini?
Fiska tersenyum memandang uminya.
“Umi dengan ayah kan dah ajar Ika supaya jangan terlalu lemah. Jangan risau
umi. Fiska ada Allah. Semua ini pasti ada hikmahnya kan umi?”
Tabahnya kau wahai anak. Bisik
Faizah dalam hati.
“Tapi perasaan Ika pada Zarif,
macam mana nak?” Tanya Faizah lagi.
Perasaan anaknya itu sudah lama
dia dan suaminya maklum. Sejak dari 2 tahun lepas lagi. Kuat sungguh anaknya
itu memendam rasa. Tidak diluahkan pada sesiapa. Kerana bimbang diri dimurkai
Allah. Jika ada rindu, jika ada cinta yang singgah di hati, anaknya itu lebih
memilih untuk menangis teresak-esak di atas sejadah. Mengadu pada Penciptanya. Melepaskan
bebenan perasaan di dada.
“Umi ni, perasaan tu kan kita
boleh buang. Ika tengah berusaha mintak pada Allah, supaya bantu Ika, jauhkan
hati ini dari Zarif.” Tenang sungguh dia menuturkan penjelasan buat uminya.
Cukuplah Allah bagi dirinya. Dia
tak boleh meletakkan cinta yang lain lebih tinggi dari Allah. Allah yang
selayaknya untuk dicintai. Walau dia sendiri kecewa dengan keputusan yang dia
lakukan itu, tapi ia bukanlah sakit mana jika hendak dibandingkan sakit jika dia
jauh dari redha Allah.
“Perasaan Zarif macam mana?” Soal
Faizah lagi.
“Zarif tu tua dua tahun dari Ika
kan umi. Mesti dia lagi kuat dari Ika. Lagi pun benda ni, baru je kan.
Entahkan
ya entahkan tidak Zarif tu suka pada anak umi ni. Mana Ika tahu hati dia.” Laju
Fiska berkata. Alangkah indahnya kalau perasaan itu boleh dibuang dalam tempoh
24jam.
“Kalau dia tak suka pada Ika,
takkan dia nak melamar. Cuba Ika fikir.”
Kali ini, Fiska sudah melabuhkan
kepala ke peha uminya. Kepalanya sakit. Dia nak rehatkan otak.
Fiska memejamkan mata ketika
uminya mengusap lembut kepalanya.
Fiska tersenyum. Rasa bahagia
dimanjakan begitu.
“Umi, kita dah bincang kan?
Mungkin bukan jodoh Ika dengan dia. Ika harap dia dapat jodoh yang lebih baik.
Ika mungkin bukan untuk dia. Dah eh umi? Ika sakit kepala ni. Nak tidur kejap.
15 minit lagi umi kejut Ika boleh?” Tanya Fiska dengan mata yang terpejam.
“Tidurlah sayang.” Pendek jawapan
Faizah. Dalam hati, masih ralit memikirkan takdir yang tertulis buat anaknya.
Semoga anaknya itu bakal bertemu lelaki yang baik. Aamin.
*****
“Zarif, boleh ibu masuk?” Tanya
Suhana di depan pintu bilik anak bujangnya.
“Masuklah bu. Mana boleh ibu
kesayangan Arif ni tak boleh masuk bilik anak dia sendiri.” Balas Zarif.
“Awak tengah buat apa tadi?” Soal
Suhana sambil duduk katil bujang milik Zarif. Zarif bangun dari meja kerjanya.
Menutup laptopnya dan melabuhkan punggung di sebelah Suhana.
“Online je bu. Tengok-tengok
facebook, baca-baca blog.” Jawab Zarif ringkas.
“Baca blog siapa? Fiska Nasuha?”
Teka Suhana.
Zarif tersengih. Kenapa pandai
benar ibunya meneka? ‘Hai Zarif, dah namanya ibu kau,mana boleh kau nak tipu!’
“Saja Arif bukak blog Fiska.
Pelik sebab dia dah lama tak tulis entry baru. Selalu tu, ada je benda yang dia
nak tulis. Dah dua minggu ni, senyap sunyi sungguh sepupu Arif tu.” Panjang
lebar Zarif mengomel.
Dia pelik kenapa Fiska jadi
begitu. Tapi dia lagi pelik kenapa semenjak dua ni, dia kerap ‘usha’ blog
Fiska.
Zarif menggaru kepala yang tak
gatal.
“Sejak bila pula anak ibu ni
rajin baca blog orang? Selalu tu busy memanjang dengan kerja dia. Sampai nak
makan pun tak sempat.” Suhana merenung Zarif penuh kasih sayang.
“Arif, Ika diam mungkin sebab
Arif kata yang Arif buat keputusan nak melamar dia sebab nak gembirakan hati
ibu dengan ayah kot. Mungkin dia betul-betul suka Arif. Ibu Nampak wajah dia
berseri-seri bila ibu kata Arif nak ibu melamar dia untuk anak ibu ni. Tapi
lepas dah Arif beritahu macam tu, terus Ika buat keputusan yang dia tolak
lamaran awak. Memang dia tak menangis. Tapi ibu dapat rasa, dia kecewa. Arif
perasan tak?”
Zarif menjongketkan kedua-dua
bahunya. “Entahlah umi. Arif pun tak tahu. Arif mana tahu hati perempuan ni
ibu.” Jawab Zarif tersengih lagi. Tapi sebenarnya dalam hatinya, semasa Fiska
menolak lamarannya, dia ada rasa ngilu.
“Betul ke anak ibu ni nak lamar
Fiska sebab nak gembirakan hati ibu ayah je? Ibu macam susah nak percaya. Kenapa
Arif ambil masa dua tahun baru nak gembirakan hati ibu dengan ayah? Betul Arif tak
ada walau sikit perasaan untuk Ika?” Soal Suhana lalu meninggalkan Zarif
dibiliknya.
Dia terlalu kecewa kenapa Zarif
dan Fiska buat keputusan yang begini. Saling memendam rasa. Kalau hanya kerana
takut Kak Long Hasnah berkecil hati, tahulah dia hendak memujuk kakaknya itu.
Sungguh dia terkilan. Baik dengan Zarif mahupun Fiska.
“Arif suka dia ibu. Semua ni
salah Arif.” Soalan ibunya dijawab perlahan. Ada air mata yang mengalir.
“Ya Allah, jika dia adalah jodoh
yang terbaik untukku, untuk agamaku, untuk hidup dan matiku, serta untuk
seluruh ahli keluarganya dan ahli keluargaku, permudahkanlah urusan penjodohan
ini.” Doa Zarif dalam hati.
Walau Fiska menolak. Jika Fiska
memang ditakdirkan untuknya. Datanglah dugaan seberat mana, pasti mereka
ditakdirkan untuk bersama.
*****
“Fiska tak sihat ke sayang? Dari
tadi mak long dengar Ika asyik batuk-batuk je. Kalau tak sihat, pergi masuk
dalam rumah. Nanti pasu bunga ni mak long boleh alihkan sendiri.” Hasnah
memandang Fiska yang berada di taman depan rumahnya.
“Ika sihatlah mak long. Alah,
batuk ni sikit je. Kafarah dosa. Allah beri. Kita terima dengan lapang dada ye
mak long.” Jawab Fiska sambil tersenyum manis.
Pin..pin…
Bunyi hon mengejutkan Hasnah dan
Fiska.
Hasnah menjenguk ke luar pagar rumahnya. ‘Zarif dah sampai.’ Bisik
hatinya.
Fiska yang juga perasan dengan kedatangan
Zarif segera menyambung kerjanya mengalihkan pasu bunga milik mak long.
Langsung tidak diendahkan kedatangan Zarif itu. Manakala mak long sudah ke
pintu pagar menyambut kedatangan anak buahnya itu.
“Assalamualaikum mak long. Ni ibu
pesan suruh hantar pasu bunga pada mak long. Dia beli minggu lepas. Arif busy
sangat, itu yang minggu ni baru sempat nak hantar.” Zarif hulurkan tangan
bersalam dengan Hasnah. Hasnah menyambut huluran tangan Zarif. Mukanya jelas
risau, kerana Fiska ada di dalam. Bagaimana kalau mereka berdua bertemu nanti?
“Nak letak mana pasu bunga ni mak
long?” Tanya Zarif perlahan. Tersentak hatinya tatkala melihat Fiska turut
berada di taman bunga mak long. Zarif menghulurkan senyuman. Fiska sekadar
menundukkan kepalanya tanda hormat.
“Letak tepi tembok tu je
dulu.Nanti mak long alihkan. Zarif duduklah dulu. Mak long masuk dalam buat air
sekejap.”
Hasnah sendiri tak pasti kenapa dia boleh buat keputusan meninggalkan
anak-anak saudaranya itu sendirian di taman bunga miliknya. Laju langkahnya ke
dapur.
Sudah hilang kelibat mak long di
dalam rumah. Zarif duduk di atas buaian berdekatan taman mak long. Hanya
memerhatikan Fiska yang sedang sibuk mengalihkan pasu bunga.
Gadis itu dari dulu sampai
sekarang, diam je. Tapi kalau dalam blog, bukan main ‘kepochi’. Zarif tersengih
sendiri.
Fiska pula masih sibuk membuat
kerjanya. Lagaknya seperti orang tiada perasaan si Fiska ni. Langsung tiada
perbualan tercipta selama 10 minit itu sebelum mak long memanggil masuk ke
dalam rumah.
“Ika, mari masuk dalam. Minum
dulu. Panas kat luar tu.” Jerit Hasnah dari ruang tamu rumahnya.
Zarif pula sudah duduk di sofa
berwarna krim di ruang tamu. Dia ralit memerhatikan Fiska.
“Ehem!” Deheman mak
long membuatkan Zarif tersentak. Fiska sudah masuk dan duduk di sebelah mak
longnya sambil mengambil gelas yang berisi air sirap. Fiska dan Zarif
masing-masing membisu. Pandangan mereka hanya dihalakan di tv led di ruang tamu
itu.
Hasnah tidak faham kenapa dengan
Fiska dan Zarif bertindak seolah-olah saling tidak mengenali. 10 minit tadi dia
beri ruang pada mereka berdua untuk berbicara. Namun tiada sepatah kata yang
keluar.
Sudahnya, dia memanggil budak berdua itu masuk. Mungkinkah mereka
berlakon di depannya? Entah-entah di belakangnya, budak berdua itu masih berpacaran.
Hatinya berbisik jahat.
‘Astargfirullah.’ Namun
cepat-cepat dia tersedar.
Seminggu ini dia sering bermimpi
Fiska memeluk dirinya sambil mengalirkan air mata. Dan setiap kali dia
tersedar, dia juga turut mengalirkan air mata. Kejamkah dia kerana memaksa
Fiska dan Zarif untuk berpisah?
Tapi kata Suhana, budak berdua ni tak pernah
bercinta. Kalau begitu, kenapa perlu kecewa. Bukankah masing-masing tiada
perasaan Antara satu sama lain? Fiska, Zarif, kalian saling sukakah nak?
Fiska dan Zarif masih membatu
seperti tadi. Walau dulu mereka juga jarang bercakap, tapi sekarang ni dah
macam orang asing. Macam tak pernah kenal langsung.
Hasnah berperang dengan perasaan
sendiri. Timbul rasa kesian pada budak berdua itu. Mungkinkah dia yang patut
beralah?
Mintak-mintaklah Mak long Hasnah boleh ubah fikiran.
Aamiin..
Oke, terima kasih sudi baca sambungan cerpen Jodoh Berdua ini.
Esok dah 15 Syaaban. Malam ni, nisfu syaaban lah kan?
Jom maksimakan amal ibadah kita. Buat yang mampu, tapi nawaitu biar ikhlas kerana Allah.
Mohon supaya Dia rezekikan kita untuk istiqamah sampai akhir hayat kita. Aamiin.
Sekian, Assalamualaikum w.b.t
Niyaz Arumi~
No comments:
Post a Comment