****
“ Kau dah tak ada orang lain untuk
dijadikan calon suami ke Fiska Nasuha?” Jerit Mak Long tepat pada wajah Fiska.
Fiska tersentak. Air mata sudah tak
mampu dibendung. Sangkanya, pemilihannya itu tepat. Sangkanya lagi, jika di
uar-uarkan berita ini, ramai yang akan menyokong.
Sayang seribu kali sayang. Kita
merancang, Allah juga merancang. Tapi perancangan Allah jauh lebih baik bukan?
“ Maafkan
Ika Mak Long." Hanya Allah yang tahu
betapa perit apa yang dirasakan ini. Tidak tahu apa yang patut dituturkan saat
ini. Mak Long tidak mengendahkan ucapan maaf Fiska.
“ Haa
kau Faizah, Mansor, kenapa biarkan anak kau orang berdua ni buat keputusan
sendiri?” Tanya Mak Long pada umi dan
ayah Fiska. Matanya mencerlung tajam.
“Kamu
berdua pun, Suhana, Zainal? Kenapa dibiarkan perkara ini? Kenapa tak ditegah?”
Soal Mak Long bertalu-talu kepada ibu ayah Zarif pula.
Fiska memandang sedih raut wajah kedua
orang tuanya dan Mak Ngah Su serta Pak Ngah Zainal. Sebak menyelinap ke seluruh
urat saraf. Fiska pandang wajah tua umi dan ayahnya silih berganti. Air mata
tak henti mengalir. Hatinya pedih.
“Mak
Long, kami baru bertanyakan pendapat. Saya baru bercadang nak melamar Fiska.
Salahkan saya? Salahkah saya dan Fiska nak minta pendapat Mak Long.” Zarif mencelah.
Dilihatnya Fiska hanya menunduk.
Tidak sanggup dia melihat wajah Fiska yang sudah dibasahi air
mata. Luluh hatinya melihat wajah murung Mak cu Iza dan Pak cu Man nya.
Zarif memandang wajah ibu dan ayahnya juga di sudut hujung
ruang tamu itu. Nampak tenang namun dia pasti mereka turut kegelisahan.
Zarif melepaskan keluhan berat. Sememangnya dia jangkakan
perkara ini akan berlaku. Dalam hati masih memikirkan apakah keputusan terbaik untuk
dirinya mahupun Fiska sendiri.
Suasana di ruang tamu itu sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas di atas siling ruang tamu itu.
Apa yang dikatakan oleh Zarif ibarat masuk telinga kiri keluar di telinga kanan Mak Long Hasnah.
Beberapa minit kemudian Mak Long bersuara.
“
Tolonglah Fiska, Zarif. Fikirkan semula keputusan kamu berdua. “ Namun kali ini suara Mak Long
sudah mengendur. Tidak marah-marah lagi
seperti tadi. Barangkali penat untuk menjerit.
Mak Long
menyambung lagi, “Kalau kamu berdua nak teruskan juga, anggap saja Mak Long dah
mati.”
“Astarghfirullah, apa yang kak Long
cakap ni?” Jerit Faizah kuat.
Fiska itu anaknya. Kenapa Kak Long perlu marah
sangat jika Fiska dan Zarif buat keputusan untuk mendirikan rumahtangga? Mansor mengusap belakang badan isterinya dengan harapan isterinya itu lebih bersabar.
Fikiran Faizah terus melilau jauh. Salahkah mereka? Zarif seorang
pemuda yang baik. Sayang sungguh kalau tak dapat dijadikan menantu. Ya, Faizah
akui dalam Islam, berkahwin dengan sepupu itu tidak digalakkan. Tapi kalau itu
dah ketentuanNya, siapa dia untuk menolak?
Semua yang berada di ruang tamu itu senyap sunyi. Tak tahu
untuk berkata apa lagi. Kerana kalau pendapat dikeluarkan dalam keadaan yang
meruncing seperti ini, sudah pasti masalah menjadi bertambah buruk.
Mak
Long tidak mengendahkan pertanyaan Faizah sebentar tadi. Sebaliknya terus
berkata, "Fiska, Zarif. Kamu berdua dah cukup matang untuk buat keputusan
bukan? Kamu berdua, sama-sama baik budi pekerti. Pasti ada yang lebih baik
untuk Fiska mahupun Zarif sendiri. Fikirlah baik-baik. Mak long sayangkan kamu
berdua macam anak mak long sendiri.” Panjang Mak Long menasihati walau hatinya
turut terluka.
Dia bukan tak mahu terima ketentuan Allah. Tapi dia tak tahu
kenapa begitu sukar menerima berita ini. Dia langsung tidak menyangka anak-anak
saudaranya berpacaran! Gila! Mana pernah dalam sejarah keluarga mereka, sepupu
bernikah dengan sepupu sendiri. Jangan tanya kerana dia memang tidak punya
jawapan.
*****
“ Beginilah Kak
Long, biar kami semua balik dulu. Bincang dengan Zarif dan Fiska.” Akhirnya Pak
Ngah Zainal membuat keputusan untuk beredar dari rumah Kak Long Hasnah. Keluhan
berat dilepaskan. Dia tahu perkara ini sukar. Sudah dia sedia maklum dengan ketegasan
Kak Long Hasnah. Hitam katanya, hitam jugalah keputusannya.
“ Kak Long, yang
nak bernikah itu anak kami. Su tak faham kenapa kak long perlu emosi sampai
begini sekali. Su betul-betul tak faham. Mungkin kak long rasa, anak saya Zarif
belum cukup baik untuk Fiska? Atau mungkin kak long rasa Fiska tak cukup baik
untuk Zarif?” Tiba-tiba Suhana bersuara, melepaskan apa yang terbuku di hati.
“Naluri hati
saya sebagai ibu ni dah sangat kuat mengatakan jika Zarif dan Fiska bertemu
jodoh, mereka akan bahagia. Kenapa kak long nak seksa anak kami? Sejujurnya kak
long, budak-budak ini tak pernah bercinta pun macam tuduhan kak long tadi. Saya
yang tergerak nak satukan mereka. Itupun usul itu saya cadangkan pada Zarif dua
tahun yang lepas.” Suhana mula bercerita tentang usulan yang dicadangkan kepada
anaknya dua tahun lepas.
Namun ketika itu, Zarif hanya
diam. Tiada respon yang diberikan. Fiska juga begitu apabila diusulkan perkara
yang sama. Dua tahun lamanya, jangka masa yang panjang untuk membaca keputusan
anaknya. Pasti anaknya itu tidak berminat. Jadi dia dan suaminya sudah lama
melupakan perkara tersebut.
Namun takdir Allah mendahului
perancangan mereka. Minggu lepas, Zarif menyatakan hasrat ingin menyunting
Fiska sebagai isterinya. Zarif tidak menerangkan apa-apa, cuma permintaannya
ingin melamar Fiska. Sangka Suhana lagi, jika dinyatakan perkara ini kepada kak
longnya, kakaknya itu akan gembira sepertinya. Namun, tak sangka perkara ini
terjadi. Niat di hati ingin berkongsi kegembiraan dengan kakak kesayangannya dan Faizah. Namun, penolakan dan herdikan yang mereka semua terima. Dugaan apakah ini Ya Allah? Sempat hati kecilnya berbisik.
Mak
long Hasnah menarik nafas panjang. Air matanya berlinangan. Selama ini dia yang
menjaga Suhana, Umar dan Faridah, sejak dari mereka kecil. Sedih sungguh hatinya
jika adik-adik perempuannya itu membuat keputusan yang melukakan hatinya. Zaman
remajanya dia habiskan dengan bekerja, mencari duit untuk adik-adiknya meneruskan hidup dan pelajaran selepas
ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Namun rasa sedih
dan kecewa itu hanya dipendam di dalam hati.
“ Sudahlah
tu Su. Apa pun kita bincang dulu dengan Zarif dan Fiska. Apa jua keputusan
mereka nanti, kita kena redha. Saya pun harap kak Long boleh redha kalau
keputusan yang dilakukan itu bukan seperti apa yang kak Long minta.” Pujuk
Zainal kepada isterinya. Diselitkan juga kata-kata buat kakak iparnya.
Mak long Hasnah mengangguk lesu di atas sofa.
Dia sudah tidak betah memikirkan apa-apa. Betullah apa yang dikatakan Suhana.
Dia siapa untuk menghalang. Zarif dan Fiska bukan anak-anaknya, cuma anak
saudara.
" Kami balik dulu kak long." Mereka semua menghulurkan tangan untuk bersalam. Namun, huluran itu tidak seperti biasa. Seolah-olah tak sudi menghulurkan salam.
Saat mereka semua sudah berada di pintu pagar rumah Mak Long, Zarif dan Fiska terpandangkan wajah masing-masing sebelum menaiki kereta. Namun segera
mereka menundukkan pandangan. Masing-masing sedang bercelaru memikirkan
keputusan yang terbaik. Antara hati yang baru nak berputik rasa sayang ataupun
memilih untuk hati mak Long supaya tidak disakiti. Fikirlah Fiska. Fikirlah
Zarif. Buat keputusan yang terbaik. Moga Allah redha.
*******
Untuk pembaca blog sekalian.
Saya memang minat menulis. Tapi kebanyakannya terbiar sepi dalam laptop. Lalu tergantung. Haha.
Cerpen part 1 ini sekadar suka-suka saja. Merealisasikan hobi dan impian.
Kritikan yang membina amat dialu-alukan. Supaya saya boleh memperbaiki apa jua kesalahan.
Jangan tanya bagaimana idea ini tercetus, kerana saya tak cukup kuat untuk menjawabnya.
Terima kasih sudi baca cerpen Jodoh Berdua ini. Nak ke sambungan? Kalau tak nak pun, saya akan sambung cerita ni sampai habis.
Sekian.
Assalamualaikum.
Niyaz Arumi~
No comments:
Post a Comment