Friday, January 29, 2021

Selamat Tahun Baru, 2021

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum w.b.t

Alhamdulillah, pada saat entry ini dikarang, kita sudahpun masuk ke tahun 2021. 


Dah terlambat ke untuk aku ucapkan Selamat Tahun Baru, 2021 pada semua? Asal boleh je la kan, selagi masih di bulan Januari, aku andaikan aku masih belum terlambat. Aku doakan semoga hasrat, impian, atau apa sahaja yang korang nak capai di tahun 2021 ini, akan dipermudahkan oleh Allah. Insya Allah, seiring dengan usaha dan doa, apa yang korang hajati pasti akan tercapai, sesuai dengan waktu dan keadaan yang tepat. Semoga tahun ini kita semua menjadi lebih baik, lebih positif dari tahun sebelumnya.

Harus aku akui, tahun 2020, aku kira sebagai tahun yang mencabar kepada kita semua, bukan sahaja di Malaysia, bahkan seantero dunia. Kerana pandemik Covid-19 masih lagi melanda setiap pelusuk negara. Agak tragis bilamana terdapat segilintir yang tidak tahan menanggung tekanan dari segi kewangan, sara hidup dan sebagainya, lalu mereka mencari jalan singkat iaitu membunuh diri, wal'iyya zubillah (semoga kita, keluarga kita, saudara mara, muslimin dan muslimat dijauhkan dari keinginan yang sebegitu).

Aku tahu ia bukan mudah untuk kita semua, menjalani kehidupan dengan tekanan yang mendasyat sehingga ke hari ini, cuma suka untuk aku nasihatkan buat pembaca sekalian, berpegang teguhlah pada tali Allah, yakni sentiasa bergantung harap kepada Allah, walaupun ketika itu, kita hampir musnah. Berjuanglah untuk meneruskan kehidupan, sabarlah menanti kemanisan sesudah melalui panjangnya kesulitan. Sentiasalah bersangka baik dengan takdir dan aturan Tuhan. Kerana setiap rencana yang telah Dia tentukan, pastilah ada hikmah di sebaliknya. 

Pernah aku share dalam entry aku sebelum ini, tentang bagaimana untuk berdamai dengan takdir, salah satu cara untuk kita berlapang dada, adalah dengan pasakkan dalam hati kita, setiap takdir yang berlaku dalam kehidupan kita sekarang, adalah yang terbaik di sisi Allah, waima ketika itu diri kita sedang berdarah-darah menanggung luka dan sakit yang teramat sangat, sekalipun diri kita sedang dihentam dengan ujian bertubi-tubi.

Sekali lagi, aku akui dan aku tegaskan, ia susah dan sangat susah untuk kita berdamai dengan takdir yang kita rasa seakan sedang menyeksa diri kita. Barangkali itu adalah kerana kita sudah terbiasa dengan kehidupan tanpa ujian yang membelenggu, menyebabkan kita 'terlupa' untuk bercerita dan berkongsi tentang kehidupan kita dengan Pencipta kita. (Trust me, buatlah apa sekalipun dalam dunia ni, jangan sesekali tinggalkan Tuhan, jangan sesekali pandang enteng untuk bercerita dengan Tuhan. Dia tahu, Dia Maha Mengetahui, walaupun kita tak bercerita. Tapi, ada kemanisan yang sukar untuk hati kita gambarkan saat berkongsi cerita tentang seluruh kehidupan kita kepadaNya.)

Pembuka bicara entry aku kali ini sejujurnya, adalah lebih ditujukan untuk diri aku sendiri, tapi, seandainya tulisan aku ini dapat memberi manfaat kepada semua yang sedang membaca, alhamdulillah, semoga kita semua direzekikan takdir terbaik daripada Allah, semoga kita sentiasa husnuzon dengan pemberian Tuhan.

Untuk tahun 2021 ni, aku sendiri dah berazam untuk perbaiki diri menjadi lebih baik dari sebelum ini, untuk lebih cool menghadapi keadaan sekeliling, untuk lebih positif, nak lebih banyak tersenyum, nak cari sebanyak ilmu akhirat, juga ilmu dunia (untuk dimanfaatkan menjadi saham akhirat), untuk lebih membahagiakan ibu ayah dan keluarga aku, dan macam-macam lagi. Banyak sebenarnya aku nak buat tahun 2021 ni. Jika diizinkan Allah, umur aku panjang, aku nak achieve semuanya. Kalaupun tak dapat nak capai kesemuanya, sekurang-kurangnya, biar aku merasakan semuanya, hampir dapat dicapai secara total, dan aku berpuas hati. Em walaupun manusia, sukar untuk berpuas hati dengan apa yang telah dia miliki, dan aku rasa, ini juga boleh jadi salah satu azam untuk perbaiki diri aku, supaya aku akan sentiasa bersyukur dengan semua yang Allah beri pada aku, juga kepada orang lain.


Let me ask you something.

Mana yang korang rasa lebih mudah?

Berdamai dengan takdir sendiri ataupun berdamai dengan takdir orang lain?

Kalau orang tanya aku, jawapan aku, berdamai dengan takdir sendiri lebih mudah dari berdamai dengan takdir orang lain.

Kenapa aku kata begitu?

Kerana kita lebih mudah untuk menerima takdir kita sendiri, dari menerima takdir orang lain.

Aku berikan satu metafora untuk kau, aku dan kita semua fikirkan.

Seandainya kita diberikan dengan sesuatu barang yang berharga, alhamdulillah, dan insya Allah, kita bersyukur. Tapi, dalam masa yang sama, Allah berikan sesuatu barang yang lebih berharga (yang juga pernah menjadi keinginan kita) terhadap orang lain, mungkin kawan kita yang lain. Tanyalah pada hati dengan rasa yang paling dalam, benarkah kita benar-benar gembira bahagia dengan sesuatu yang kita nak sangat, tapi kita tak dapat, bahkan orang lain yang dapat. Seringkali kita persoalkan, kenapa mereka yang dapat, bukan kita. Jika kita sedang mempersoalkan sedemikian, ketahuilah sesungguhnya, kita belum benar-benar berdamai dengan takdir orang lain. Kita cuma belajar untuk menerima takdir kita, bahkan kita selalu alpa untuk berdamai dengan takdir orang lain juga.

Bilamana kita persoalkan takdir, itu tandanya hati kita sedang sakit. 

Dan ubat kesakitan itu, adalah dengan zikir, dan istighfar. Lazimi itu, supaya kita tidak mudah terpedaya dengan bisik-bisik halus dari syaitan, dan nafsu kita sendiri.

Tak apa, yang lepas tu, biarkan ia berlalu, pentingnya waktu yang kita punya sekarang kita gunakan untuk bertaubat dan bersihkan semula hati kita. Ukirlah senyuman, jangan pernah berputus asa untuk mencari redha Tuhan, jangan penat untuk bertaubat walau diri kita terpalit dengan dosa yang membusuk. Harapan masih sentiasa ada. Jangan biarkan nyawa sudah sampai di kerongkong, baru kita teringat mahu bertaubat. Kerana ketika itu, taubat kita sudahpun tidak diterima.

Masa yang kita punya sekarang, hargailah sebaiknya. Kau, aku, kita semua kena terus berusaha untuk menjadi muslim sejati. Jangan tinggalkan solat, tutuplah aurat dengan sempurna (ketika hayat masih dikandung badan, pesanan ini untuk semua, lelaki dan wanita), laksanakan rukun islam, rukun iman sebaiknya. ^-^ 

Insya Allah, aku percaya dengan usaha dan doa, disertakan dengan amal dan ilmu, Allah pasti berikan takdir terbaik buat kita, bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat kelak.

Cukup sekadar itu dahulu entry aku kali ni.

Aku harap sangat agar entry aku kali ni, sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dalam kehidupan korang, dapat memberi korang ilham untuk mengejar cinta Tuhan, dan sentiasa bersangka baik dengan takdir yang diberi olehNya. Tak mudah dan ia sukar. Tapi bukankah jalan menuju ke syurga itu penuh kepayahan, penuh kesakitan. Tetaplah bertahan demi Tuhan.

Terima kasih atas perhatian, mohon maaf sebarang kekurangan.



Salam Sayang,

Norzayani Norhamshah

6.55 PM/ 29 Januari 2021


No comments:

Post a Comment

CANVA YEAH ^-^

  Ehh best jugak edit pakai canva ni ya. Haip! Jangan gelak. Saya budak hanya baru belajar. ^-^ Tapi untuk pertama kali ni, aduhai, macam ke...